
KUALA LUMPUR – Kebiasaannya urusan di pintu sempadan berlangsung ringkas dan serius, namun kali ini suasananya lain macam apabila ia bertukar kecoh dan penuh gelak tawa. Kehadiran seorang figura rock tanah air secara tiba-tiba mencetuskan momen spontan yang tak disangka-sangka, siap ada ‘live performance’ daripada pegawai imigresen sendiri.
Tular di TikTok satu perkongsian oleh akaun @ftcinsurancethai yang memaparkan suasana santai di pintu masuk sempadan Malaysia–Thailand apabila seorang pegawai imigresen berkopiah dilihat menyanyikan lagu Datuk Awie sebagai tanda meraikan ketibaan penyanyi rock legenda itu.
Video sama turut dikongsikan semula oleh akaun @mcleh886, sekali gus menarik perhatian lebih ramai pengguna media sosial dan menjadikan momen tersebut pantas tersebar.
Figura Rock Masih Berbisa
Dato’ Ahmad Azhar bin Othman atau lebih dikenali sebagai Awie yang dilahirkan pada 24 November 1968, sememangnya antara nama besar industri muzik rock tempatan dan masih aktif bersama komuniti peminatnya.
Menerusi rakaman berkenaan, pegawai terbabit kelihatan bersahaja dan ‘sporting’ menyanyikan lagu Awie sambil berinteraksi dengan rombongan konvoi motosikal besar sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Thailand. Suasana yang biasanya formal di pintu sempadan bertukar ceria, malah disifatkan netizen sebagai jarang-jarang dapat dilihat.
Awie sememangnya dikenali aktif menyertai aktiviti konvoi bermotosikal berkuasa tinggi ke negara jiran bersama komuniti bikers. Difahamkan, ketibaan beliau disambut oleh pegawai imigresen Dannok, dikenali sebagai Cik Fauzee dan Cik Syukri, yang melayan rombongan dalam suasana mesra tanpa protokol ketat.
Di ruangan komen, ramai yang terhibur melihat gelagat pegawai tersebut. Ada yang menyifatkannya sebagai sangat ‘sporting’ dan mudah mesra, malah seorang pengguna berseloroh mengatakan setiap kali urusan cop pasport, pakcik berkopiah putih itu memang paling sempoi. Seorang lagi menyatakan Awie sememangnya figura fenomena suatu ketika dahulu dengan peminat setia di mana-mana, manakala ada juga yang bergurau kononnya sesiapa mahu melepasi sempadan Thailand perlu menyanyi dahulu lagu Awie.
Perkongsian itu sekali lagi membuktikan aura Awie masih kuat dan dekat di hati peminat. Dalam suasana ringkas di sempadan, momen spontan tersebut berjaya mencipta kenangan manis serta mengukir senyuman buat ramai yang menonton. – The Malaysian Update
The post Pegawai Imigresen ‘Sporting’ Nyanyi Lagu Awie, Sambut Konvoi Di Sempadan Malaysia–Thailand appeared first on The Malaysian Update.

