Pegawai kanan polis ditahan peras ugut warga asing

LocalPolitics
17 May 2026 • 2:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pegawai kanan polis ditahan peras ugut warga asing
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai kanan polis diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kes pemerasan terhadap seorang lelaki warga asing dalam kejadian di Bukit Bintang, Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek direman selama empat hari bermula 16 Mei bagi membantu siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi pada 14 Mac lalu di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Angsoka, Bukit Bintang.

"Pengadu memaklumkan rakannya telah ditahan oleh sepasukan anggota polis ketika keluar dari sebuah kenderaan jenis Mercedes," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, rakan pengadu didakwa ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti scammer atau calling centre.

Katanya, kumpulan terbabit turut mendakwa majikan pengadu yang merupakan warga China dikehendaki pihak berkuasa di Kemboja dan China.

"Sebaik tiba di lokasi, pengadu mendapati rakannya digari hampir sejam sebelum dibebaskan.

"Pengadu turut mendakwa dipaksa menyerahkan wang tunai RM5,000 kepada individu terbabit di restoran berkenaan," katanya.

Sazalee berkata, pada hari sama kira-kira jam 10 malam, pengadu sekali lagi menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang meminta mereka bertemu di sebuah premis di Ampang, Selangor.

"Pengadu kemudian diminta menyerahkan wang tambahan RM2,500 kononnya bagi menyelesaikan kes melibatkan majikannya.

"Tidak berpuas hati dengan tindakan pegawai polis yang didakwa mengugut dan meminta wang, pengadu tampil membuat laporan," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.