Pegawai kastam maut motosikal bertembung Proton Preve

9 Mar 2026 • 8:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Khairul (gambar kecil) disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah dalam kemalangan di Kilometer 57, Jalan Lahad Datu–Tungku pada pagi Isnin

LAHAD DATU – Seorang pegawai kastam maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan lain di Kilometer 57, Jalan Lahad Datu–Tungku, di sini pada pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu, mangsa, Khairul Taha, 41, yang bertugas di Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lahad Datu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kemalangan itu melibatkan dua kenderaan iaitu motosikal dan sebuah kereta Proton Preve.

“Hasil siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan berlaku semasa Proton Preve yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 46 tahun dari arah Bandar Lahad Datu menuju ke arah Tungku.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta tersebut dipercayai hendak masuk ke simpang sebelah kanan di Kampung Sibural, manakala motosikal yang ditunggang mangsa datang dari laluan bertentangan bergerak lurus dari arah Felda sebelum berlanggar dengan kereta yang dipercayai tiba-tiba masuk ke laluan motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa oleh orang awam ke Klinik Kesihatan Tungku untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, pada jam 9.15 pagi mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik tersebut manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Susulan kejadian itu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mana-mana individu yang menyaksikan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Jafri Junat di talian 089-881255 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu,” katanya.