Pegawai KPM Terlibat Dalam Kesilapan Jalur Gemilang Telah Dikenal Pasti – KSN

LocalPolitics
30 Apr 2025 • 9:59 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Ramai sedia maklum sejak dua minggu lalu, kecoh di media sosial mengenai kesilapan ilustrasi bendera kebanggaan rakyat Malaysia, Jalur Gemilang.

Bermula dari ketiadaan elemen bulan sabit yang dipaparkan di dada akhbar tempatan, diikuti pula dengan kesilapan Jalur Gemilang tidak lengkap oleh sebuah media serta di ekspo bayi.

Terbaharu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga turut terpalit dengan isu sama apabila ilustrasi Jalur Gemilang dilihat tidak lengkap dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 pada 24 April lalu.

Namun, KPM menerusi satu kenyataan telah membuat permohonan maaf dan tindakan tegas telah diambil serta-merta.

Pegawai Terlibat Telah Dikenal Pasti, Tindakan Tatatertib Akan Dilaksanakan Mengikut Gred

Terbaharu, kerajaan mendedahkan telah mengenal pasti pegawai terlibat dalam kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang yang dipaparkan dalam laporan analisis keputusan peperiksaan SPM baru-baru ini.

Menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, tindakan sedang diambil oleh Lembaga Disiplin Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga Tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kesemua yang terlibat itu telah pun dikenal pasti yang mana ada dua kumpulan iaitu atas dan di bawah Gred 48 (Gred 12).

“Pegawai di bawah Gred 48 akan dikendalikan oleh KPM dan gred atas 48 akan diambil tindakan oleh JPA,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Memetik Berita Harian, kakitangan yang terlibat dengan insiden itu juga telah ‘dipoolkan’.

KPM Telah Hantar Laporan Ke JPA Untuk Tindakan Lanjut

Jelas Shamsul Azri, laporan berhubung insiden tersebut juga telah dihantar oleh KPM kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan lanjut.

“Ya, sedang dan akan diambil tindakan,” jelasnya lagi.

Tindakan itu susulan Ketua Setiausaha (KSU) KPM Datuk Dr Aminuddin Hassim telah diarahkan untuk menyediakan laporan berhubung kejadian berkenaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek juga sebelum ini telah memaklumkan siasatan dalaman berhubung insiden itu sedang dijalankan.

Malah, beliau memohon agar semua pihak memberikan ruang sementara siasatan sedang dijalankan.

Terdahulu, kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang yang dihasilkan oleh KPM menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) dikesan di beberapa halaman iaitu muka surat 14 dan 15 dalam laporan berkenaan ketika ia diedarkan pada Khamis (24 April) lalu.

Malah, ia turut dimuat naik ke laman sesawang rasmi KPM bermula jam 10 pagi namun diturunkan selepas mereka menyedari kesilapan pada ilustrasi berkenaan.

Source: