Pegawai polis ditahan kerja buat kecoh tuduh anggota ugut warga Pakistan

LocalPolitics
6 Nov 2025 • 2:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Video tular memaparkan insiden kekecohan di Jalan Ipoh Chow Kit, pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang juga pegawai polis ditahan kerja sejak tahun lalu, mencetuskan kekecohan apabila menuduh anggota polis mengugut lelaki warga Pakistan yang ditahan kerana memandu tanpa lesen di Jalan Ipoh, Chow Kit di sini Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, lelaki berusia 34 tahun yang bekerja di sebuah kedai pakaian ditahan sepasukan anggota polis untuk pemeriksaan selepas didapati tidak memiliki lesen memandu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, wanita itu tiba-tiba datang dari arah belakang dan mendakwa anggota bertugas mengugut lelaki berkenaan.

"Wanita itu turut memperlekehkan pihak polis dengan menuduh anggota berkenaan tidak mengetahui undang-undang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Fadil berkata, susulan kejadian, anggota polis terbabit telah membuat laporan.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan," ujarnya.