KUALA LUMPUR – Pegawai tentera berpangkat kapten yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk serta melawan arus sehingga merempuh sebuah kenderaan lain serta meragut nyawa seorang lelaki warga Bangladesh direman selama lima hari bermula Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 31 tahun itu dibenarkan oleh Majistret, Guftan Nor Asyikin Murlikamal di Mahkamah Majistret di sini.
"Permohonan reman dibacakan pada jam 10.45 pagi di Bilik Reman Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Tempoh reman tersebut bermula 24 hingga 28 April ini bagi membantu siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga Bangladesh maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 1.9 Lebuhraya MEX pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.38 pagi itu, suspek dipercayai dalam keadaan mabuk memandu kereta jenis Ford Fiesta telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berhadapan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
MPV itu turut membawa dua penumpang warga Bangladesh yang baharu tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Kejadian mengakibatkan penumpang lelaki berusia 22 tahun yang duduk di bahagian tempat duduk barisan tengah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala seorang lagi penumpang wanita berusia 20 tahun terselamat.





