Pegawai Tribunal Kastam Ditemui Maut, Kaki Dan Leher Terjerut ‘Cable Tie’

LocalPolitics
6 Mar 2025 • 8:23 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Si mati dilaporkan pernah bertugas di Pejabat Peguam Negara (AGC) - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang penjawat awam ditemui maut dalam dalam Pejabat Perbendaharaan, di Kementerian Kewangan semalam. 

BH yang memetik kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa melaporkan, mayat pegawai tribunal rayuan kastam itu ditemui dalam keadaan kaki dan lehernya terjerut pengikat kabel (cable tie).

Menurut Rusdi, lelaki terbabit berusia 45 tahun dan pernah bertugas di Pejabat Peguam Negara (AGC) sebelum ditempatkan di Kementerian Kewangan di Putrajaya. 

“Pihak kami menerima panggilan berhubung perkara berkenaan pada jam 10.56 pagi tadi (semalam).

"Setakat ini, kematian pegawai itu diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut (SDR) kerana tiada sebarang unsur jenayah ditemui di tempat kejadian,” katanya seperti dilaporkan BH.

image is not available
Rusdi Mohd Isa - Gambar fail

Menurut laporan, si mati menurut siasatan awal polis setakat ini, dipercayai menjerut leher dan kakinya sendiri.

Pengesahan sebenar bagaimanapun hanya akan diketahui sebaik proses bedah siasat selesai dijalankan hari ini. 

Susulan kejadian, Rusdi turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi. 

Katanya, polis memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tetapi paparan itu hanya merakamkan pergerakan si mati ke pejabat. 

Mayat si mati difahamkan telah dihantar ke Jabatan Forensik dan Patalogi Hospital Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur melalui talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Putrajaya (03-8886 2222). - Getaran, 6 Mac 2025