
PETALING JAYA - Peguam yang mewakili ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin membantah permohonan polis membawa anak guamnya dalam prosiding tertutup di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Peguam, Fahmi Abdul Moin berkata, antara bantahan yang dikemukakan ialah alasan polis untuk menggunakan Kanun Tatacara Jenayah dibawah Seksyen 26 (1) Akta keterangan bagi memohon prosiding hari ini.
“Akta tersebut tidak relevan langsung untuk mengambil sebarang pengakuan bersalah di hadapan Majistret,” katanya kepada media di hadapan kompleks Mahkamah Majistret di sini.
Menurut beliau, peguam tidak diberitahu tentang prosiding hari ini dalam bantahan tersebut.
“Bantahan pertama kami direkodkan pihak mahkamah dan mahkamah sedia maklum kami tidak diberitahu tentang prosiding hari ini.
“Kami tidak melihat apa-apa peruntukan khusus untuk membuat permohonan ini dan jelas kami katakan ia sangat prejudis terhadap anak guam kami.
“Bantahan ketiga kami untuk permohonan prosiding hari ini kerana ia boleh menjejaskan sebarang hujah pembelaan kelak jika dituduh, itu pun sekiranya mereka dituduh,” katanya.
Terdahulu, ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abd Manaf dibawa ke Mahkamah Majistret bagi memberi keterangan.
Ismanira dilihat hadir di Mahkamah kira-kira jam 10.29 pagi dan meninggalkan kompleks itu pada 12.50 tengah hari.
Sebelum ini, polis menyambung reman ibu bapa kepada kanak-kanak autisme terbabit bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan terhadap kedua-dua mereka.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tempoh reman disambung selama enam hari yang berakhir esok.
Pasangan suami isteri itu direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mereka ditahan di sekitar Puncak Alam, 31 Mei lalu.
Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai, kira-kira 10 malam. - Getaran, 12 Jun 2024

