Peguam Dedah Syamsul Yusof Sedia Lepaskan Ira Kazar, Akui Tak Tahu Dakwaan Lafaz Cerai Luar Mahkamah

Entertainment
27 Aug 2024 • 5:20 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Sejak minggu lalu, pengarah dan pelakon lelaki terkenal, Syamsul Yusof telah menjadi perhatian ramai apabila dia memfailkan penceraian terhadap isterinya, Faghirah Fatini Kazaruddin atau lebih dikenali sebagai Ira Kazar.

Berita mengenai aktor itu memfailkan penceraian terhadap isterinya itu turut disahkan oleh peguam yang mewakili Syamsul iaitu Azmi Mohd Rais.

Peguam dedah Syamsul sedia lepaskan Ira Kazar

Terbaharu, Azmi memaklumkan pengarah terkenal itu sedia melepaskan isterinya itu pada hari ini (27 Ogos).

Namun Syamsul dan Ira Kazar dilaporkan tidak dapat menghadirkan diri ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat, Selangor untuk kes sebutan perceraian mereka.

“Sepatutnya hari ini (Selasa) sebutan kes tuntutan cerai dengan kebenaran mahkamah. Saya dimaklumkan Ira tidak hadir kerana baru lantik peguam, jadi Syamsul juga tidak hadir.

“Syamsul sedia lepaskan Ira hari ini, tapi Ira tidak hadir. Itu yang dimaklumkan kepada saya. Kalau boleh kes mahkamah ini nak dipercepatkan bukan dilambatkan,” ujarnya dipetik Berita Harian.

Mahkamah akan tetapkan sebutan kedua kes, jika Ira tak setuju bercerai akan lalui proses JKP

Ekoran daripada itu, mahkamah kemudiannya menetapkan 25 September untuk sebutan kedua kes perceraian antara pengarah terbabit dan isterinya.

“Andai kes cerai ini tidak dipersetujui Ira, pasangan tersebut perlu melalui prosedur Jawatankuasa Pendamai (JKP).”

Dalam pada itu, Azmi mengesahkan pihaknya tidak mengetahui dakwaan yang Syamsul ada melafazkan cerai di luar mahkamah.

“Setakat ini saya tidak menerima sebarang maklumat mengenai lafaz di luar mahkamah. Saya juga tidak menerima saman atau dimaklumkan oleh Syamsul berkaitan hal ini.

“Syamsul hanya memfailkan tuntutan perceraian dengan kebenaran mahkamah di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS),” katanya, lapor Harian Metro.

Source: