Peguam 'kotak pensel' wakili Mohamed Fauzi kes pecah amanah tabung tentera RM5 juta

LocalPolitics
30 Jan 2026 • 10:01 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Peguam 'kotak pensel', Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar (kiri) hadir ke mahkamah bagi mewakili Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Datuk Mohamed Fauzi Kamis (kanan) yang didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah wang RM5 juta milik Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), tiga tahun lalu.

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Peguam 'kotak pensel' hadir di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, bagi mewakili Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Datuk Mohamed Fauzi Kamis yang didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah wang RM5 juta milik Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), tiga tahun lalu.

Semasa prosiding di hadapan Hakim, Suzana Hussin, peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Mohamed Fauzi, merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum.

Menurutnya, jumlah jaminan RM300,000 yang dicadangkan pihak pendakwaan kepada pegawai kanan tentera itu bersifat keterlaluan.

"Kes ini agak menarik kerana anak guam merupakan seorang pegawai kanan berpangkat mejar jeneral yang dihormati dan memakai dua bintang atas bahunya.

"Tuduhan yang dilemparkan bukan melibatkan kes menggelapkan wang, sebaliknya menyalah guna harta, jadi saya percaya anak guam akan hadir dalam setiap sebutan kes di mahkamah ini,'' katanya.

Selepas pertuduhan, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin.

“Ia termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah kerana walaupun tertuduh masih bertugas dalam ATM, namun beliau kerap ke luar negara untuk menghadiri program-program tertentu, sekali gus menimbulkan risiko untuk melarikan diri.

“Jadi jaminan yang saya cadangkan termasuk syarat tambahan berkenaan, bersifat wajar dan munasabah,'' katanya yang hadir bersama dua lagi Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Nurul Izzati Sapifee.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Sebutan kes ditetapkan pada 16 Mac depan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, ketika menjawat Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT, telah diamanahkan penguasaan ke atas wang berjumlah RM5 juta milik tabung kebajikan itu di akaun sebuah bank.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut dengan menyalah gunakannya iaitu membuat pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.

Kesalahan didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah, di sini, pada 27 November 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.