KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili Toh Puan Na’imah Abdul Khalid menafikan dakwaan kononnya wujud perbincangan atau arahan daripada balu bekas Menteri Kewangan itu, untuk menggulingkan kerajaan atau menjejaskan sistem demokrasi berparlimen.
Peguam, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid berkata, sepanjang menjalankan tugas membela Na’imah, 69, semua pihak memberi fokus kepada fakta sebenar.
“Tidak ada perbincangan untuk menggulingkan kerajaan, semua itu ‘mother of all lies’.
“Keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin berhak mempertahankan diri daripada segala tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan, sama ada di mahkamah mahupun di media,” katanya ketika sidang akhbar di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.
Beliau berkata, ia tidak hanya terhad kepada tuduhan oleh pihak kerajaan ataupun oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, ini kerana, legasi dan nama baik keluarga anak guam perlu dipertahankan sewajarnya.
Mengulas mengenai laporan polis yang tular di media dan laporan media antarabangsa Bloomberg, Nizamuddin berkata, naratif yang disebarkan bersifat tidak benar, melampau dan tidak berasas.
Beliau mengesahkan bahawa, terdapat dua nama peguam yang mewakili Na’imah tertera dalam laporan polis berkenaan.
"Saya sendiri merupakan salah seorang yang dinamakan dalam laporan polis tersebut sementara seorang lagi ialah Amir Zharif Abdullah,” katanya.
Sebelum ini, Na’imah tampil menafikan terlibat dalam sebarang bentuk usaha menggulingkan kerajaan seperti yang didakwa pihak tertentu.
Isteri kepada bekas Menteri Kewangan itu menegaskan, tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak berasas, malah melucukan dan tidak masuk akal.
Beliau turut menyifatkan cubaan mengaitkan dirinya dengan pendedahan laporan media antarabangsa, Bloomberg melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebagai tidak bertanggungjawab serta menghina kredibiliti pengamal media.
Minggu lalu, laporan polis yang tersebar di media sosial menyatakan, ahli keluarga berpengaruh itu didakwa melantik sebuah firma komunikasi strategik berpangkalan di United Kingdom.
Ia dikatakan bagi memberi tekanan terhadap SPRM dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan bantuan media antarabangsa.
