Peguam saran tubuh 'Legal Council' lengkapi doktrin pengasingan kuasa

LocalPolitics
8 May 2026 • 7:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peguam saran tubuh 'Legal Council' lengkapi doktrin pengasingan kuasa
Kay Ping bersama Nurhayati selepas sesi temu bual ringkas. FOTO AISYAH BASARUDDIN

SHAH ALAM - Satu Majlis Perundangan atau 'Legal Council' disaran ditubuhkan bagi melengkapi doktrin pengasingan kuasa sedia ada iaitu Legislatif, Eksekutif dan Judisiari.

Penulis buku Demi Rakyat, Khoo Kay Ping berkata, selepas pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Pendakwa Raya juga mesti diletakkan di bawah 'Legal Council' itu agar tugasnya dapat dilaksanakan tanpa sebarang campur tangan politik.

Atas dasar itu, beliau yang juga peguam menyarankan penubuhan 'Legal Council' sebagai cabang kuasa keempat dalam Perlembagaan Persekutuan dan diuruskan oleh sebuah badan sembilan ahli merangkumi lima pakar perundangan.

"Lima pakar tersebut adalah masing-masing wakil daripada Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Peguambela Sarawak, Persatuan Undang-Undang Sabah, serta fakulti undang-undang universiti awam dan universiti swasta.

"Tiga ahli lain ialah pemegang taruh iaitu wakil-wakil dari Parti Pemerintah, Parti Pembangkang, dan Badan Kehakiman manakala ahli kesembilan ialah wakil dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam)," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kompleks Karangkraf, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin dan Pengurus Perhubungan Strategik #RasuahBusters, Wan Normi Hasan.

Kay Ping menambah, tujuan utama penubuhan badan itu adalah supaya agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini bebas daripada tekanan politik.

"Jadi, kalau mereka nak dakwa sesiapa, tiada masalah dari segi tekanan politik. Ahli politik nak bermain politik, silakan tetapi jangan sentuh agensi penguatkuasaan," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai rasional cadangan itu, Kay Ping berpandangan, doktrin pengasingan kuasa sedia ada masih belum mencukupi kerana peranan mahkamah dilihat begitu pasif.

"Sebabnya adalah mahkamah cuma putuskan kes yang dibawa ke mahkamah. Jika ada kesalahan tapi tak dibawa ke mahkamah, mahkamah tak boleh buat apa-apa.

"Bagi penguatkuasaan undang-undang, pihak yang memainkan peranan aktif adalah agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang, tetapi kesemuanya di bawah Perdana Menteri, itu masalahnya.

"Justeru, saya saran tubuh cabang keempat iaitu 'Legal Council' untuk melengkapkan lagi doktrin pengasingan kuasa sedia ada," jelas beliau.

View Original Article