
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membatalkan keputusan koroner yang membenarkan peguam mewakili lima remaja didakwa terbabit dalam kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir, daripada menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu bermula pada Rabu.
Bagaimanapun, mahkamah permohonan tersebut dikemukakan semula di depan koroner baharu yang mengendalikan kes itu.
Hakim, Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan berkenaan selepas mendengar hujahan pasukan peguam keluarga Zara Qairina dan Persatuan Guaman Sabah (SLS).
"Apa-apa perintah yang dibuat berkaitan sebarang permohonan dalam inkues itu dibatalkan. Jadi, pihak-pihak bebas mengemukakan semula permohonan mereka kepada koroner baharu," katanya.
Pada 28 Ogos lalu, Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz, yang bertindak sebagai Korone, memutuskan prosiding inkues akan diteruskan seperti dijadualkan, namun akan didengar oleh koroner baharu iaitu Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.
Tarikh prosiding inkues ditetapkan bermula 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.
Mengulas lanjut, Duncan berkata, koroner sebelum ini membenarkan peguam yang mewakili lima remaja itu mengambil bahagian pada prosiding inkues bagi kes Allahyarham Zara Qairina sebagai pihak berkepentingan.
Beliau bagaimanapun berkata, koroner terbabit menarik diri daripada mendengar kes atas alasan terdapat kepentingan peribadi.
"Memandangkan beliau (koroner) itu memutuskan untuk menarik diri daripada mengendalikan kes ini, adalah tidak wajar untuk beliau membuat keputusan terhadap isu substantif yang sepatutnya diputuskan oleh koroner baharu," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, lima remaja mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kata-kata menghina terhadap Allahyarham Zara Qairina.
Inkues ini dijalankan susulan kematian Zara Qairina, 13, pelajar sebuah sekolah agama di Papar selepas ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokan harinya.
Lagi artikel berkaitan:


