Pejabat PeterLabs diserbu SPRM susulan dakwaan salah laku pengarah eksekutif

LocalPolitics
20 May 2025 • 11:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pejabat PeterLabs diserbu SPRM susulan dakwaan salah laku pengarah eksekutif

image is not available

20/05/2025 - 11:50

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mei - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat utama PeterLabs Holdings Bhd dan anak syarikatnya, Thye On Tong Trading Sdn Bhd (TOT).

Kumpulan itu berkata, ia adalah susulan laporan rasmi yang dibuat berhubung dakwaan salah laku yang melibatkan Pengarah Eksekutifnya, Datuk Loh Saw Foong.

Laporan itu telah diserahkan kepada SPRM pada 9 Mei, berkaitan "dakwaan serius salah laku, konflik kepentingan dan pelanggaran tugas" oleh Saw Foong, yang juga berkhidmat sebagai Pengurus besar di TOT.

Semasa serbuan itu, pegawai SPRM merampas dokumen dan fail berkaitan daripada kedua-dua ibu pejabat dan pejabat berdaftar PeterLabs serta TOT yang dipercayai berkaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan, kata PeterLabs.

"Lembaga pengarah memandang dakwaan ini sangat serius dan memastikan kerjasama penuh dengan SPRM bagi menjaga integriti penyiasatan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Syarikat itu memberi jaminan, perniagaannya tidak terjejas dan pihaknya sudah mengambil langkah sewajarnya untuk berdepan perkara itu.

PeterLabs terlibat dengan pembuatan, pengedaran, eksport dan perdagangan produk kesihatan dan makanan haiwan, termasuk makanan tambahan, pemakanan pra campuran, pembasmi kuman dan farmaseutikal.

Anak syarikatnya TOT merupakan pengedar barangan pengguna yang beroperasi di Malaysia.

Minggu lalu, PeterLabs mengumumkan, Saw Foong digantung selama dua minggu mulai 13 Mei bagi memudahkan semakan bebas terhadap dakwaan salah laku itu.

Penggantungan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi membolehkan siasatan dalaman menyeluruh terhadap sebarang potensi pelanggaran dasar syarikat dan terma pekerjaannya.

Saw Foong dilantik sebagai pengarah eksekutif PeterLabs pada 5 Jan 2021 dan

Sementara itu, Pengarah Urusan kumpulan, Lim Tong Seng telah mengambil alih tugas dan tanggungjawab Saw Foong buat sementara waktu.- DagangNews.com

standard