‘Pejabat Rafizi tak pernah dikosongkan’, Najib Bakar nafi dakwaan Nurul Izzah

LocalPolitics
23 May 2025 • 11:18 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Bekas Pegawai Khas Kementerian Ekonomi, Najib Bakar, menafikan dakwaan calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, bahawa pejabat Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, telah dikosongkan.

Nurul Izzah dalam satu hantaran di Facebook mendakwa menerima maklumat mengenai pengosongan pejabat Rafizi, termasuk surat peletakan jawatan.

Beliau berkata, perkara itu berlaku susulan beberapa kekalahan di peringkat cabang melibatkan pimpinan yang sehaluan dengan Rafizi, serta beberapa pemimpin akar umbi.

“Memandangkan kemungkinan kekosongan kepimpinan ini menggusarkan ramai pihak, terutamanya anggota dan pimpinan KEADILAN, ada yang membuat seruan agar saya tampil menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden,” katanya.

Nafi dakwaan surat peletakan jawatan Rafizi

Sementara itu, Najib Bakar menjelaskan bahawa surat peletakan jawatan juga tidak pernah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya boleh sahkan bahawa pejabat Rafizi tidak pernah dikosongkan sewaktu beliau bercuti hari itu. Kalau nak tangkap layar status saya ini pun boleh. Mungkin ada yang menyampaikan maklumat salah kepada orang lain.

“Oh ya! Surat letak jawatan (sebagai Menteri dan Timbalan Presiden PKR) pun tak pernah diberi kepada Anwar,” katanya.

Dalam hantaran di Facebook itu juga, Najib menyatakan bahawa pejabat Menteri hanya dikemas pada 28 April 2025 sebagai persediaan untuk majlis jamuan Aidilfitri.

“Pada 27 April 2025, memang ramai SB masuk ke Kementerian Ekonomi untuk semak sama ada benar YB Rafizi sudah mengemas pejabat. Tak tahulah mereka dengar khabar angin dari mana, mungkin dari ‘sumber tak dinamakan’.

“Sebenarnya ya, pejabat Menteri memang dikemas, tapi semata-mata sebagai persiapan jamuan raya Pejabat Menteri pada 28 April 2025,” jelasnya.