Pejuang DUN Kiulu lumpuh, 2,500 ahli sertai Upko-PH

Politics
10 Nov 2022 • 3:41 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAMPARULI: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu secara rasminya terbubar apabila Ketuanya, Lotimin Lindud, 56, mengumumkan peletakan jawatan sekali gus membuat pendirian menyokong Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Pengumuman itu dibuat bersama 10 Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pejuang DUN Kiulu, dengan disaksikan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) merangkap calon PH Parlimen P170 Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, di sini, pada Rabu.

“Saya juga meletakkan jawatan selaku Exco Biro Ekonomi Parti Pejuang Negeri Sabah dengan serta merta sekali gus mengumumkan untuk keluar parti.

“Saya bersama semua Ketua PDM serta 2,500 ahli juga mengumumkan untuk bersama-sama menyokong Upko-PH Tuaran di bawah pimpinan Datuk Seri Madius,” kata Lotimin.

Menurutnya, keputusan untuk meninggalkan Parti Pejuang adalah disebabkan hilang kepercayaan terhadap tampuk kepimpinan di peringkat pusat.

“Selain itu, keputusan ini diambil bagi menyokong tawaran PH dalam memperjuangkan hak-hak rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Kami sedar dan tidak mahu berada di sesebuah parti yang hanya memperjuangkan kaum-kaum tertentu sahaja,” jelas beliau yang berasal dari Pekan Nabalu.

Sementara itu, Madius menyambut baik sokongan dan penyertaan parti Pejuang sambil menyifatkan rakyat kini bijak menilai tawaran yang lebih baik untuk dinikmati di negara ini terutamanya di Sabah.

“Sebagai contoh salah satu Tawaran PH pada kali ini ialah memastikan tuntutan 40 peratus hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus dilaksanakan apabila PH menang dan membentuk kerajaan selepas PRU15.

“Tidak ada lagi runding-runding, tetapi akan terus dilaksana dan ini telah dipersetujui oleh semua Parti Komponen dalam PH, di mana saya sendiri merupakan Ahli Majlis Presiden PH.

“Pelbagai lagi Tawaran PH untuk dikecapi rakyat berbilang kaum dan agama sekiranya PH diberi mandat pada PRU15. Semuanya boleh difahami dan dihayati dengan melayari portal kitaboleh.my,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.