
SHAH ALAM, 10 OGOS: Pekan Lama Rawang bakal melalui proses rejuvenasi bagi mewujudkan persekitaran lebih selesa dan teratur tanpa menghilangkan identiti serta nilai sejarah kawasan berusia lebih 100 tahun itu.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat berkata Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memperuntukkan RM200,000 bagi kajian dan reka bentuk menyeluruh Pelan Rejuvenasi Pekan Lama Rawang, berbanding RM100,000 sebelum ini.
"Bagi saya, kita bukan mahu menghilangkan wajah lama Rawang. Sebaliknya, kita mahu menjaga nilai sejarah yang ada sambil memberikan nafas baharu kepada pekan ini," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Menurutnya, pelan itu antaranya mempertimbangkan penambahbaikan trafik dan tempat letak kereta, sistem saliran, laluan pejalan kaki, pemeliharaan identiti bangunan lama, ruang awam serta kawasan hijau.
"Aspek trafik, keselamatan jalan raya dan saliran turut diberi perhatian menerusi Traffic Impact Assessment (TIA), Road Safety Audit (RSA) serta kajian sistem saliran.
"Usaha ini bukan sekadar mencantikkan kawasan, tetapi diharapkan dapat menyelesaikan beberapa masalah lama di Pekan Rawang," ujarnya.
Wei Kiat berkata MPS dijangka menyediakan kira-kira RM3 juta secara berperingkat bagi pelaksanaan pelan berkenaan, dengan pelan lengkap disasarkan siap tahun ini dan perkembangan kerja rejuvenasi dijangka mula dilihat tahun hadapan.
"Turut dicadangkan ialah elemen yang dapat menceritakan sejarah Rawang, termasuk perkembangan daripada zaman perlombongan bijih timah sehingga hari ini.
"Apa yang dibentangkan sekarang masih di peringkat awal. Harapan saya sederhana, semoga suatu hari nanti, kita dapat melihat sebuah Pekan Lama Rawang yang masih mempunyai identitinya, tetapi lebih selesa, lebih hidup dan menjadi kebanggaan kita bersama," katanya.
