'Pekat macam mana sokong PN perlu dengar perancangan ekonomi negara' - Rafizi

LocalPolitics
18 Feb 2025 • 5:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar Rafizi dalam satu hantaran video di Facebook.

SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menempelak komen pengguna media sosial yang enggan mendengar sebarang penjelasan kerajaan berhubung perancangan ekonomi negara.

Menurutnya, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerjaya masa depan generasi muda sekarang berkait rapat dengan perancangan ekonomi yang telah digariskan.

“Walau pekat macam mana sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN), saya nasihatkan tetap dengar perancangan saya mengenai ekonomi negara.

“Saya tahu abang kakak mungkin tidak akan menerima apa pun penjelasan daripada kerajaan tetapi masa depan kerjaya anak-anak banyak dipengaruhi dengan perancangan ekonomi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Rafizi turut menekankan kepentingan ibu bapa untuk memahami arah tuju ekonomi terutama dalam pemilihan kursus atau kerjaya relevan bagi anak-anak mereka yang berpotensi menawarkan gaji lumayan pada masa depan.

Jelas beliau, bidang teknologi masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), digital dan teknologi, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor kejuruteraan elektronik, kejuruteraan elektrik, kejuruteraan perisian, sains data, pemarasan digital serta pembangunan produk digital.

“Apabila memahami perancangan kerajaan dan bentuk pelaburan sedang berlaku, ibu bapa boleh merancang bagaimana hendak menyediakan anak-anak memilih kursus atau kerjaya yang baik di masa depan.

“Demi anak-anak abang kakak, dengar jelah perancangan ekonomi negara. Ini masa depan anak-anak abang kakak juga,” katanya.