Pekebun Perlop 1 boleh mohon bantuan kerugian akibat gajah

LocalEnvironment
21 Oct 2026 • 3:21 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pekebun Perlop 1 boleh mohon bantuan kerugian akibat gajah

SUNGAI SIPUT: Pekebun di Kampung Perlop 1 yang mengalami kerugian hasil tanaman akibat ancaman gajah liar boleh memohon bantuan kewangan terhadap kerosakan yang berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, pekebun boleh mengemukakan permohonan bantuan menerusi Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Katanya, bantuan itu bukan berbentuk pampasan, sebaliknya bantuan ihsan bagi meringankan beban pemilik ladang yang mengalami kerugian akibat kemusnahan tanaman dan ternakan disebabkan serangan hidupan liar.

“Perhilitan mempunyai mekanisme penilaian bersama jabatan dan agensi berkaitan sebelum bantuan disalurkan kepada pemilik tanah atau penternak yang terjejas akibat serangan hidupan liar.

“Apa yang penting, mereka yang terjejas perlu membuat laporan polis dan laporan kepada Perhilitan sebelum penilaian kerosakan dilakukan bersama jabatan serta agensi berkaitan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama penduduk Kampung Perlop 1, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Perhilitan Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin.

Beliau berkata, selain BKHT, Perhilitan turut menyediakan bantuan pemasangan pagar elektrik bagi membantu pekebun mengawal ancaman hidupan liar seperti gajah dan harimau.

Bagaimanapun, katanya, pemilik tanah bertanggungjawab memastikan pagar elektrik yang dipasang diselenggara dan dijaga dengan baik bagi memastikan keberkesanannya.

“Jika pagar elektrik itu tidak dijaga, ia bukan lagi jadi tanggungjawab pihak Perhilitan untuk beri bantuan dan terpulang kepada pemilik-pemilik tanah.

“Bantuan ini merupakan antara usaha Perhilitan untuk membantu pemilik ladang kelapa sawit, kebun dan dusun serta penternak mengawal ancaman hidupan liar seperti gajah dan harimau,” katanya.

Tambahnya, beliau berharap proses penilaian dan penyaluran bantuan dapat dipercepatkan bagi membantu pekebun yang menanggung kerugian akibat kejadian berkenaan.

“Kejadian serangan gajah yang memusnahkan tanaman kelapa sawit ini berlaku pada 10 dan 16 Oktober lalu, melibatkan 25 pemilik ladang atau tanah.

“Berdasarkan anggaran, kawasan tanaman yang terjejas dianggarkan melibatkan kira-kira 101 hektar merangkumi pelbagai jenis tanaman dan bukan hanya kelapa sawit,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kebimbangan pekebun di Kampung Perlop 1 yang terpaksa menangggung kerugian puluhan ribu apabila tanaman kelapa sawit yang diusahakan mereka rosak dan musnah akibat serangan gajah liar sejak dua bulan lalu. – UTUSAN

 

The post Pekebun Perlop 1 boleh mohon bantuan kerugian akibat gajah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved