PEKEMA jalin kerjasama dengan syarikat gergasi kenderaan elektrik China percepat pertumbuhan industri EV

Business & FinanceCars
12 Oct 2023 • 5:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PEKEMA jalin kerjasama dengan syarikat gergasi kenderaan elektrik China percepat pertumbuhan industri EV

zulfadli

12/10/2023 - 17:10

KUALA LUMPUR 12 Okt - Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) terus berusaha mengubah landskap automotif di Malaysia dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat gergasi EV di China, Dongfeng Motor Industry Imp & Exp Co Ltd (DFMIEC).

MoU itu bertujuan mempercepat pertumbuhan industri kenderaan elektrik (EV) di rantau ini serta untuk mendorong pembangunan ekosistem EV yang kukuh, tidak hanya di Malaysia tetapi juga di seluruh Asia Tenggara.

Timbalan Presiden merangkap Pemangku Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, kerjasama antara PEKEMA dan DFMIEC yang merupakan anak syarikat kepada pengeluar kereta terkemuka di China, Dongfeng Motor Corporation (DFMC), menunjukkan kesungguhan PEKEMA dalam berkongsi dan menyelaraskan diri dengan industri automotif yang sedang berkembang.


"Kerjasama PEKEMA dengan DFMIEC, merupakan satu langkah besar dalam misi kami untuk membuka era mobiliti yang lebih mesra alam di Malaysia.

"Landskap EV di Malaysia berada di lingkungan pertumbuhan yang luar biasa, dan kerjasama ini meletakkan kami di puncak perubahan. Ini adalah satu peristiwa bersejarah untuk membentuk semula masa depan pengangkutan di tanah air," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mohamed Nazari berkata, melalui kerjasama ini dengan syarikat milik negara China, PEKEMA akan memulakan satu perjalanan yang tidak hanya bakal mengubah hala tuju persatuan, tetapi juga akan memberi sumbangan yang besar ke arah masa depan elektrifikasi Malaysia.

"PEKEMA dan DFMIEC akan bersatu tenaga untuk mengkaji dan mengemudi dalam landskap pasaran EV yang sentiasa berubah di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

image is not available
Datuk Mohamed Nazari Noordin

"Kerjasama ini tidak hanya akan memperkenalkan penyelesaian pengangkutan yang inovatif dan mesra alam, tetapi juga akan memberikan dorongan kepada pertumbuhan ekonomi serta peluang pekerjaan, seiring dengan visi kerajaan Malaysia untuk masa depan yang lebih lestari," ujarnya.

Beliau berkata, pencapaian cemerlang dan pengalaman luas DFMIEC dalam industri automotif memberikan nilai tambah yang besar kepada inisiatif ini.

Katanya, dengan fokus yang kukuh pada penyelidikan dan pembangunan, DFMIEC telah menunjukkan komitmen dalam penghasilan pelbagai jenis kenderaan penumpang, kenderaan komersial, kenderaan tenaga baharu, dan komponen asas.

image is not available

"Selain itu, DFMIEC telah memulakan usaha yang berani untuk memperluaskan kehadiran mereka dalam pasaran EV di luar negara, terutamanya di Malaysia, yang mana potensi besar untuk kenderaan elektrik pacuan kanan masih belum dimaksimumkan sepenuhnya," jelasnya.

Melalui kerjasama strategik ini, PEKEMA dan DFMIEC bertekad melakukan keperluan penting seperti memperkuatkan saluran penjualan untuk EV di Malaysia dan memperluaskan ke pasaran di rantau Asia Tenggara. - DagangNews.com