
Kota Kinabalu: Seorang pekerja kilang rakyat Filipina dijatuhi hukuman penjara 16 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis kerana memiliki MyPR palsu.
Abdurakman Addari Abbas, 53, mengaku bersalah di hadapan majistret Stephanie Sherron Abbie atas tuduhan memiliki dokumen penduduk tetap palsu dengan nombor siri 671001-65-5277 atas nama Amman Kadir di Bahagian Kad Pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini ppukul 10.30 pagi, pada 3 Okt.
Pegawai Pendakwa JPN Mohd Naser Mohd Nadzeri memaklumkan mahkamah, pada hari tersebut Abdurakman pergi ke Bahagian tersebut untuk membuat penggantian kad MyPR.
Susulan pemeriksaan, kedua-dua cap ibu jari Abdurakman didapati tiada dalam rekod jabatan itu.
Semakan lanjut jabatan itu mendapati nombor siri MyPR Abdurakman tidak wujud dalam rekod JPN.
Abdurakman kemudiannya ditangkap.
Dia didakwa mengikut Peraturan 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tidak diwakili, Abdurakman memohon denda dan memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai isteri dan enam orang anak.
Dia diperintahkan menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas itu.
Dalam kes berasingan, seorang bekas anggota tentera yang sedang menjalani hukuman penjara kerana menyimpan pelbagai barangan berharga dipenjara 23 bulan.
Mohd Fakrulruzi Hashim, 35, mengaku bersalah menyimpan seutas jam tangan Rolex, beg pakaian dan dompet curi milik seseorang bernama Tann Su Fang jam 6.30 petang pada 2 Feb tahun ini di kedai Bundle Mania, di pusat beli-belah ITCC, Penampang.
Pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Majistret dimaklumkan oleh pendakwaan bahawa barang-barang itu dilaporkan dicuri dari rumah Tann dekat sini pada 24 Jan tahun ini.
Fakrulruzi kini sedang menjalani hukuman penjara atas dua kesalahan sama.
Dia diperintahkan menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
