Pekerja khidmat pelanggan cedera parah dirempuh kereta

28 Feb 2023 • 1:12 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SHAH ALAM: Seorang penunggang motosikal cedera parah akibat dirempuh sebuah kereta yang melanggar lampu isyarat merah di persimpangan Jalan Batu Unjur, Klang kira-kira 6.50 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata mangsa berusia 27 tahun menunggang motosikal dari arah Taman Chi Liung menghala ke Bukit Tinggi ketika lampu isyarat berwarna hijau manakala suspek berusia 20 tahun, memandu dari arah Pandamaran menghala ke Taman Sentosa, Klang tidak berhenti ketika lampu isyarat merah lalu merempuh mangsa.

Katanya, kejadian kemalangan berkenaan turut tular di media sosial.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang motosikal yang juga pekerja khidmat pelanggan mengalami cedera patah jari kaki kanan, luka di anggota badan dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada kira-kira 7 petang.

“Pemandu kereta yang bekerja sebagai penjual ikan itu turut hadir di Balai Polis Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan membuat laporan kemalangan pada 10 malam, semalam,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Cha berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat atau menyalurkannya terus kepada Balai Polis Trafik, IPD Klang Selatan di talian 03-33722222. - Bernama