Pekerja kilang tayar didakwa cabul 2 cucu

22 Nov 2022 • 3:43 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 5 Januari tahun depan untuk pengurusan kes praperbicaraan lanjut seorang pekerja kilang tayar yang didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua cucu lelakinya dua tahun lalu.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menetapkan tarikh bagi lelaki berusia 49 tahun itu apabila kesnya dikemukakan untuk penyerahan dokumen berkaitan kes itu, pada Isnin.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menyentuh kemaluan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu di sebuah rumah di Tuaran antara pukul 1 pagi hingga 4 pagi pada 12 Mei 2020.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama ke atas abang mangsa berusia 11 tahun pada masa dan tempat yang sama.

Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Disebabkan hubungan antara tertuduh dan mangsa, lelaki itu akan berdepan hukuman tambahan mengikut Seksyen 16(1) Akta sama membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, dan sekurang-kurangnya dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu kini dilepaskan dengan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.