
LAHAD DATU: Seorang pekerja syarikat penghantaran (kurier) maut selepas motosikalnya terlanggar seekor kerbau yang melintas jalan di Jalan Felda Sahabat 2, di sini, awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Felda Sahabat 7 menuju ke Felda Sahabat 2.
Ketika sampai di tempat kejadian, mangsa terlanggar salah satu daripada tiga ekor kerbau yang melintas jalan.
Ketua Polis Daerah, ACP Rohan Shah Ahmad berkata, susulan perlanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala motorsikalnya mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.
“Disebabkan kerbau secara tiba-tiba melintas jalan, mangsa tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat.
“Dua rakan mangsa yang menunggang motosikal lain pada masa sama, menyaksikan kejadian itu,” katanya, menambah mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.
Menurut Rohan, penunggang berkenaan tidak disyaki dipengaruhi dadah atau alkohol, bagaimanapun sampel darah diambil untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia Malaysia.
Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, mana-mana individu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 sambungan 414 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Rohan menasihatkan pengguna agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan sentiasa berhati-hati.
Beliau turut menasihati penternak haiwan agar lebih bertanggungjawab dan mengawal haiwan ternakan masing-masing agar tidak masuk ke jalan raya sehingga membahayakan nyawa.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

