Pekerja maut: Sabitan SESB, denda diketepi

LocalBusiness & Finance
27 Jun 2026 • 7:10 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Pekerja maut: Sabitan SESB, denda diketepi

Kota Kinabalu: Mahkamah Tinggi pada Jumaat membenarkan rayuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terhadap sabitan dan denda RM35,000 yang dikenakan kerana gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan seorang pekerjanya yang maut akibat renjatan elektrik.

Pesuruhjaya Kehakiman Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Sesyen pada 5 April 2024, serta melepaskan dan membebaskan SESB daripada pertuduhan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Mahkamah turut memerintahkan supaya denda RM35,000 yang telah dibayar oleh SESB selepas sabitan itu dipulangkan.

SESB mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang mendapati syarikat utiliti itu bersalah kerana gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya, Jacklye Mairin, 32, ketika menjalankan kerja penyelenggaraan bagi menggantikan pin penebat pada talian elektrik voltan tinggi.

Kejadian berlaku di tiang elektrik berkembar tanpa nombor di Kampung Langkon, Kota Marudu pada jam 10.32 pagi, 18 Julai 2019, apabila Jacklye maut akibat terkena renjatan elektrik.

Pada 5 April 2024, Mahkamah Sesyen memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan menjatuhkan denda RM35,000 terhadap SESB.

Pertuduhan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Peguam Datuk Rizwandean Bukhary M. Borhan bersama Elhanan James mewakili SESB, manakala Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus mewakili Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sabah.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved