
Kota Kinabalu: Seorang pekerja berusia 22 tahun maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh ketika menjalankan kerja pemasangan paip di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabtu.
Mangsa dilaporkan terperangkap dalam timbunan tanah sedalam kira-kira 10 kaki.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.45 tengah hari sebelum menghantar pasukan 12 anggota dari Balai Bomba Kota Kinabalu ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 14 kilometer dari bandar raya.
“Setibanya di lokasi, anggota bomba menggali timbunan tanah untuk mencapai mangsa dan berjaya mengeluarkannya menggunakan pengusung.
“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan. Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi yang melibatkan 12 anggota bomba itu tamat pada jam 2.50 petang. Turut membantu di lokasi ialah dua anggota polis dan tiga pegawai Kementerian Kesihatan.


