Pekerja pizza tikam wanita hamil 14 kali selepas diberi tip RM9

27 Dec 2024 • 8:50 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Seorang pekerja penghantar pizza di Florida didakwa menikam pelanggan sebanyak 14 kali selepas tidak berpuas hati dengan tip RM9 ($2) yang diterima. Kejadian berlaku di Riviera Motel, Kissimmee, pada Ahad lalu, seperti dilaporkan Pejabat Sheriff Osceola County.

Mangsa, seorang wanita, membuat pesanan pizza bernilai RM152 ($33.10) dan memberikan tip RM9 ($2) kepada penghantar, Brianna Alvelo, 22. Menurut dokumen mahkamah, selepas menerima tip tersebut, Alvelo dikatakan “menjeling mata dan beredar tanpa berkata apa-apa.”

Namun, tidak lama selepas itu, Alvelo kembali ke motel tersebut bersama seorang lelaki bersenjata api. Mereka didakwa memaksa masuk ke dalam bilik mangsa yang ketika itu bersama teman lelakinya dan anak perempuannya berusia 5 tahun. Lelaki bersenjata itu mengarahkan teman lelaki mangsa masuk ke bilik mandi dan menahannya di situ dengan menggunakan senjata api.

Sementara itu, Alvelo didakwa menikam mangsa sebanyak 14 kali menggunakan pisau lipat, menyebabkan kecederaan di bahagian dada, lengan, kaki, dan perut.

Mangsa dikejarkan ke hospital berhampiran untuk rawatan, termasuk pembedahan akibat paru-paru yang pecah. Ketika menerima rawatan, mangsa dimaklumkan bahawa dia sedang hamil beberapa minggu. Keadaannya kini dilaporkan stabil.

Susulan kejadian itu, Alvelo telah ditahan pada Isnin dan dihantar ke Penjara Osceola County. Dia kini berdepan tuduhan pencerobohan bersenjata, percubaan membunuh, penculikan, dan serangan agresif. Mahkamah membenarkan Alvelo diikat jamin RM257,950 ($55,000).

Sementera itu, pihak restoran pizza tempat Alvelo bekerja menyatakan mereka memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Selain itu, lelaki bersenjata yang terlibat dalam insiden tersebut masih belum dikenal pasti. – Agensi