
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, kami ada melaporkan insiden seorang lelaki yang ditemui maut selepas dipercayai terperangkap dalam stor yang berkunci di fasiliti sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak awal pagi tadi (7 April).
Mangsa, Mohd Radzi Ariffin yang berusia 53 tahun ditemui dalam stor peralatan pembersihan di UPSI Sports Bowl dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pada masa yang sama, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff menjelaskan mangsa bukanlah kakitangan UPSI sebaliknya pekerja swasta iaitu di UPSI Sports Bowl yang beroperasi di dalam universiti itu.
Tambahnya, mangsa disyaki mengalami serangan jantung dan proses bedah siasat kini sedang dilaksanakan di Hospital Slim River.
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Ditemukan Maut Dalam Stor Berkunci Di Fasiliti Sukan UPSI
Mangsa Ada Mengadu Sakit Kepala Kepada Isteri – Pengurus UPSI Sports Bowl
Terbaharu, Pengurus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sports Bowl, Dzulkarnain Sapian mendedahkan mangsa sempat mengadu sakit kepala sebelum ditemukan meninggal dunia dalam bilik stor berkenaan.
Menurut Dzulkarnain, kejadian itu disedari oleh isteri mangsa kira-kira jam 1 pagi selepas wanita itu datang mencari suaminya di pusat boling berkenaan setelah mangsa tidak pulang ke rumah sebaik tamat waktu kerja.
Jelasnya lagi, dia bersama isteri mangsa serta seorang petugas lain cuba membuka pintu stor terbabit yang kebiasaannya tidak berkunci.
Pintu Stor Fasiliti Sukan Sebenarnya Tidak Terkunci, Kepala Mangsa Di Sebalik Pintu
Namun, pintu berkenaan sukar dibuka kerana mereka mendapati kepala mangsa berada di sebalik pintu terbabit sekaligus menyebabkan ia tersangkut dan tidak dapat dibuka sepenuhnya.
“Selalunya, stor yang simpan barang-barang cleaning ini kecil sahaja, tak pernah berkunci.
“Pintu bukan terkunci tetapi tertahan oleh kepala mangsa, apabila pihak keselamatan UPSI berjaya masuk ke dalam stor itu, baru kita boleh betulkan kedudukan arwah.
“Dia ada mengadu dengan isterinya petang semalam katanya dia sakit kepala. Itu sahaja yang saya tahu,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Sahkan Mangsa Adalah Pekerja Syarikat Swasta & Merupakan Seorang Tukang Cuci
Pada masa yang sama, Dzulkarnain turut mengesahkan mangsa adalah pekerja swasta UPSI Sports Bowl yang bekerja sebagai tukang cuci di kampus terbabit.
Jelasnya lagi, solat jenazah akan dilakukan di Masjid Al Mursyidin UPSI sebaik urusan bedah siasat selesai dibuat oleh pihak forensik.
Baca Artikel Berkaitan:
Lelaki Ditemukan Maut Dalam Stor Berkunci Di Fasiliti Sukan UPSI


