Pekerja Stesen Minyak Warga Asing Didenda RM10,000 , Guna MyKad Orang Lain Beli RON95

LocalPolitics
5 May 2026 • 7:05 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang pekerja stesen minyak warga Bangladesh, Md Jakir Hossain didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah menggunakan MyKad milik dua individu untuk membeli petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Dipenjara 14 bulan jika gagal bayar denda

Memetik laporan daripada Sinar Harian, mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 14 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Image from: Pekerja Stesen Minyak Warga Asing Didenda RM10,000 , Guna MyKad Orang Lain Beli RON95

Sekadar gambar hiasan

Guna dua kad pengenalan tanpa kebenaran

Mengikut pertuduhan, lelaki berusia 50 tahun itu didapati memiliki dan menggunakan dua kad pengenalan tanpa kebenaran bagi tujuan pembelian petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak di Jalan Pahang antara 8 Februari hingga 22 April lalu.

Kes tersebut dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Image from: Pekerja Stesen Minyak Warga Asing Didenda RM10,000 , Guna MyKad Orang Lain Beli RON95

Foto: Bernama

Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh, dalam prosiding itu memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kerugian yang dialami pemilik asal MyKad akibat penyalahgunaan kuota subsidi petrol mereka.

Beliau menegaskan tertuduh masih meneruskan pembelian walaupun menyedari kad tersebut bukan miliknya.

Bagaimanapun, pihak pembelaan merayu agar hukuman minimum dikenakan atas alasan tertuduh perlu menanggung keluarga dan telah insaf atas kesalahan dilakukan.

Siasatan mendapati salah seorang pemilik MyKad, seorang akauntan berusia 31 tahun, menyedari baki subsidi BUDI95 miliknya berkurang secara mendadak daripada 94.937 liter kepada 44.637 liter sebelum mengesyaki kad pengenalannya hilang.

Semakan rakaman kamera litar tertutup membawa kepada penahanan tertuduh, sebelum dua MyKad milik mangsa ditemui di bilik sewanya.

Sumber: Sinar Harian (Noor Azlida Alimin)

The post Pekerja Stesen Minyak Warga Asing Didenda RM10,000 , Guna MyKad Orang Lain Beli RON95 appeared first on Borak Daily.