Pelabuhan Bintulu diserah sepenuhnya kepada Sarawak menjelang 2025 selepas akta dimansuhkan - Anthony Loke

LocalPolitics
22 Mar 2024 • 4:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelabuhan Bintulu diserah sepenuhnya kepada Sarawak menjelang 2025 selepas akta dimansuhkan - Anthony Loke

herman

22/03/2024 - 16:00

KUALA LUMPUR 22 Mac - Kerajaan Persekutuan dan Sarawak menandatangani Perjanjian Persefahaman Penukaran Status Pelabuhan Bintulu Daripada Pelabuhan Persekutuan Kepada Pelabuhan Negeri yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menandatangani perjanjian itu bagi pihak Kerajaan Persekutuan manakala Sarawak diwakili oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak.

Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anthony berkata, perjanjian hari ini merupakan persefahaman bersejarah dan signifikan bagi menukar status Pelabuhan Bintulu.

Katanya, memorandum persefahaman yang ditandatangani hari ini adalah komitmen kerajaan Persekutuan kepada Sarawak yang akan disusuli beberapa proses lagi.

"Pertamanya perlu dibawa ke Dewan Rakyat bagi memansuhkan Akta Pelabuhan Bintulu sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa pelabuhan di Sarawak.

"Kedua, akta ini juga diguna pakai (dalam pentadbiran) Pelabuhan Labuan. Jadi Pelabuhan Labuan akan dikeluarkan untuk dikekalkan sebagai pelabuhan Persekutuan," jelasnya.

image is not available
Sidang media Premier Sarawak dan Anthony Loke selepas perjanjian persefahaman penukaran status Pelabuhan Bintulu di Putrajaya hari ini./Gambar Kementerian Pengangkutan

Kata beliau, perkara teknikal berbangkit lain akan dibincang antara kedua-dua kerajaan antaranya membabitkan operator, kakitangan dan beberapa elemen kewangan yang perlu diperincikan.

"Kita amat yakin segala proses ini (teknikal) akan selesai dan dimuktamadkan pada tahun ini juga.

"Menjelang tahun 2025, saya yakin keseluruhan operasi (Pelabuhan Bintulu) akan diserahkan dan dilaksanakan pihak berkuasa Sarawak sendiri.

"Kita yakin Pelabuhan Bintulu akan kekal sebagai pelabuhan utama bukan sahaja untuk Sarawak tetapi Malaysia," katanya.

image is not available
Gambar hiasan Pelabuhan Bintulu


Abang Johari pula mengucapkan terima kasih kerana status Lembaga Pelabuhan Bintulu dikembalikan semula kepada Kerajaan Sarawak.

"Perkara-perkara teknikal kita serah kepada jawatankuasa masing-masing di antara dua buah kerajaan.

"Kita harap sebelum habis 2024, perkara ini akan selesai dan diuruskan negeri Sarawak," katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak akan menubuhkan sebuah pihak berkuasa pelabuhan yang akan menguruskan semua pelabuhan yang ada di negeri itu.

Ini seperti Pelabuhan Kuching, Pelabuhan Sibu, Pelabuhan Tanjung Manis dan Pelabuhan Miri yang akan diurus bersama dengan Pelabuhan Bintulu di bawah satu bumbung.

"Ini akan memberikan impak ekonomi kepada Sarawak dan Malaysia keseluruhannya kerana Sarawak merupakan pengeksport banyak sumber hasil," katanya. - DagangNews.com