Pelabuhan Pulau Carey: Selangor selesai isu tanah sejak Disember - Amirudin

LocalPolitics
22 Jun 2026 • 3:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelabuhan Pulau Carey: Selangor selesai isu tanah sejak Disember - Amirudin
Amirudin (tengah) pada sidang media sempena Pelancaran Baucar Kita Selangor pada Isnin.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengesahkan semua urusan berkaitan tanah bagi pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey telah selesai sepenuhnya sejak Disember tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses penyediaan tanah melibatkan kira-kira 1,000 hektar di kawasan dasar laut serta tambahan 85.2 hektar tanah milik kerajaan negeri telah dimuktamadkan lebih awal.

Menurutnya, penyelesaian berhubung status tanah itu turut melibatkan perancangan dan keputusan awal kerajaan negeri bagi membolehkan projek pelabuhan itu dilaksanakan tanpa sebarang kekangan dari sudut pemilikan aset tanah.

"Dari sudut kerajaan negeri, komitmen berkaitan tanah ini sudah selesai dan kita sudah bersedia," katanya semasa sidang media Pelancaran Baucar Kita Selangor di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, pelaksanaan projek itu masih tertangguh kerana menunggu keputusan kerajaan Persekutuan khususnya berkaitan struktur kelulusan dan bidang kuasa pelabuhan yang berada di bawah kerangka Kementerian Pengangkutan.

Beliau berkata, terdapat pandangan undang-undang termasuk daripada Peguam Negara yang menyatakan pelabuhan tidak boleh dimiliki secara swasta dan perlu berada di bawah kerajaan Persekutuan.

"Isunya apabila dibangkitkan pelabuhan ini tidak boleh dimiliki secara swasta, sebaliknya perlu dimiliki oleh kerajaan Persekutuan.

"Kita menunggu keputusan kerajaan Persekutuan sama ada mereka akan mengambil alih projek ini atau memberikan kebenaran untuk pelaksanaan tertentu," tambah beliau.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah sekiranya kerajaan Persekutuan mahu mengambil alih kos berkaitan tanah yang dianggarkan kira-kira RM100 juta atau melaksanakan model pajakan semula bagi membolehkan projek diteruskan.

Amirudin turut menjelaskan, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersama syarikat terlibat telah bersedia untuk memulakan pembangunan sebaik sahaja kelulusan diperoleh.

Beliau berkata, projek Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey itu dirancang sebagai pelabuhan dalam laut yang melibatkan kerja penambakan dan pembangunan infrastruktur berskala besar.

Katanya, kawasan berkenaan juga telah dikenal pasti sebagai lokasi strategik bagi pembangunan hab pelabuhan baharu negara dalam perancangan jangka panjang.

"Pelaksanaan awal projek atau peluncuran pembinaan boleh dilakukan seawal September ini," tambah beliau.

Terdahulu media melaporkan, projek pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey berada di landasan tepat dengan isu tanah kini sedang diperincikan sebelum fasa pembinaan dimulakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penyelesaian isu berkenaan membabitkan Kementerian Pengangkutan, kerajaan negeri Selangor serta Unit Kerjasama Awam Swasta.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved