Pelabuhan Samalaju dapat status zon bebas, sasaran seterusnya Miri, Kuching dan Bintulu

LocalBusiness & Finance
13 May 2026 • 11:06 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelabuhan Samalaju dapat status zon bebas, sasaran seterusnya Miri, Kuching dan Bintulu Image from: Pelabuhan Samalaju dapat status zon bebas, sasaran seterusnya Miri, Kuching dan Bintulu hamden13/05/2026 - 11:06 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Mei - Selepas kejayaan mendapat status zon bebas bagi Pelabuhan Samalaju di Bintulu, kerajaan Negeri mensasarkan untuk mendapat pengiktirafan sama bagi beberapa pelabuhan utama di negeri itu.

 

Usaha itu sejajar dengan hasrat Sarawak membangunkan ekosistem industri dan logistik negeri dengan meningkatkan nilai tambah aset sedia ada bagi menarik pelaburan dalam industri berorientasikan eksport.

 

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi berkata kelulusan Zon Bebas Pelabuhan Samalaju telah diperoleh daripada Kementerian Kewangan (MoF) pada 14 April tahun ini, sementara beberapa pelabuhan lain turut berada pada pelbagai peringkat kelulusan dan semakan.

 

Menurut beliau, permohonan bagi Zon Bebas Pelabuhan Miri telah dikemukakan kepada MoF pada 19 Februari dan kini sedang dalam pertimbangan, manakala cadangan bagi Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Bintulu masih dalam proses penambahbaikan.

 

“Pembangunan kawasan Zon Bebas ini diyakini mampu meningkatkan aktiviti nilai tambah serta menarik pelaburan dalam industri berorientasikan eksport,” katanya ketika menjawab pertanyaan di persidangan Dewan Undangan Negeri.

 

Majang berkata usaha itu adalah sebahagian daripada pelan pembangunan jangka panjang di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), yang menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.

 

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri sedang memperkukuh tadbir urus sektor pelabuhan melalui penubuhan Sarawak Ports Authority (SPA) sebagai badan pengawal selia tunggal bagi semua pelabuhan di negeri itu.

 

SPA akan menggantikan pelbagai pihak berkuasa pelabuhan sedia ada termasuk Pelabuhan Bintulu selepas proses penyerahan daripada kerajaan Persekutuan dimuktamadkan.

 

Kerajaan negeri juga sedang melaksanakan proses pengkorporatan pihak berkuasa pelabuhan secara berperingkat bagi meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan serta pengurusan kewangan.

 

“SPA akan menyelaras pelan pembangunan pelabuhan bersepadu berasaskan pendekatan pengelompokan pelabuhan bagi mengoptimumkan peranan setiap pelabuhan,” katanya.

 

Beliau berkata pendekatan itu turut bertujuan mengurangkan pertindihan fungsi selain memperkukuh rantaian logistik serta merancakkan pembangunan kawasan sekitar pelabuhan utama.

 

Antara projek yang sedang berjalan termasuk Projek Pengorekan dan Kerja Berkaitan di Kuala Baram oleh Miri Port Authority yang dijangka siap pada Oktober 2026. - DagangNews.com

Terkini featured standard
View Original Article