Pelabuhan Tanjung Pelepas peroleh 52 trak elektrik, langkah strategik ke arah kelestarian

LocalEnvironment
22 Dec 2025 • 4:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelabuhan Tanjung Pelepas peroleh 52 trak elektrik, langkah strategik ke arah kelestarian
image is not available
haziq22/12/2025 - 16:46 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Dis – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usaha sama antara kumpulan MMC dan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda, mengorak langkah strategik dalam memperkukuh agenda kelestarian dan transformasi operasinya apabila memeterai perjanjian perolehan trak pelabuhan berkuasa elektrik bagi kegunaan pergerakan di dalam terminal.

 

Dalam kenyataan hari ini, PTP memaklumkan inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Terberg Tractors Malaysia (TTM), melibatkan perolehan 52 unit trak elektrik pelabuhan sebagai sebahagian daripada pesanan keseluruhan 94 unit, manakala baki unit menggunakan bahan api konvensional.

 

Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, langkah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan PTP untuk meningkatkan keupayaan operasi di samping memacu agenda kelestarian pelabuhan.

 

“Inisiatif ini hadir pada detik yang amat bermakna ketika PTP menyambut ulang tahun ke-25. Ia mengingatkan kami kejayaan PTP selama ini dibina berasaskan visi, inovasi dan keberanian untuk melakukan perubahan, selain membuktikan keupayaan kami memberikan impak positif kepada pelanggan, warga kerja dan alam sekitar,” katanya.

 

Menurut beliau, agenda penyahkarbonan PTP telah dirangka sejak sekian lama dengan sasaran mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45% menjelang 2030, berasaskan garis dasar tahun 2021.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, perolehan berkenaan merupakan sebahagian daripada pelan pertumbuhan utama pelabuhan tersebut bagi mengoptimumkan kapasiti sedia ada serta memastikan kesiapsiagaan peralatan sejajar dengan trajektori pertumbuhan.

 

“Langkah ini menyokong matlamat kami untuk meningkatkan kapasiti pengendalian terminal kepada kira-kira 16 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dalam tempoh dua setengah tahun akan datang, dengan aspek kelestarian terus diterapkan dalam setiap keputusan perniagaan,” katanya.

 

Menurut Hardiman, hasil Bukti Konsep (PoC) menunjukkan satu unit e-PM hanya menghasilkan kira-kira 4,000 kilogram setara karbon dioksida (kgCO₂eq) sebulan, berbanding 7,600 kgCO₂eq bagi unit konvensional, sekali gus merekodkan pengurangan pelepasan hampir 48% serta penjimatan kos operasi bulanan sekitar 57 bagi setiap unit.

 

Beliau menambah, selain perolehan e-PM, PTP turut memperoleh lima unit forklift kecil elektrik yang telah diuji dalam persekitaran operasi sebenar, di samping menyertai kerjasama antarabangsa termasuk inisiatif GreenVoyage2050 oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Perkongsian bagi Infrastruktur (P4I) Australia, serta memeterai Memorandum Persefahaman dengan Pelabuhan Melbourne berkaitan operasi pelabuhan mampan.

 

Majlis menandatangani perjanjian tersebut menyaksikan Hardiman dan Ketua Pegawai Eksekutif TTM, Boo Wei Ching, bertukar dokumen perjanjian di PTP, dengan penghantaran trak pelabuhan dijadualkan pada 2026. 

 

Di bawah perjanjian itu, TTM turut menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan selama 24 bulan.

 

Boo berkata, PTP bakal menjadi pelabuhan pertama di Malaysia yang memperkenalkan prime mover elektrik keluaran TTM.

 

“Syarikat berbangga dapat bekerjasama dengan PTP dalam perjalanan kelestarian mereka dan menghargai kepercayaan yang diberikan. Kerjasama ini diharap dapat mencapai tahap prestasi dan inovasi yang lebih tinggi,” katanya.

 

PTP sebelum ini diiktiraf oleh Alphaliner sebagai pelabuhan dengan pertumbuhan terpantas di dunia pada kadar +15.4 peratus tahun ini, selain berperanan sebagai hab utama Asia di bawah kerjasama Gemini.

 

Sepanjang 2025, PTP turut mencatat pencapaian operasi luar biasa apabila berjaya melepasi 13 juta TEU buat pertama kali pada 6 Disember, menjadikannya terminal tunggal pertama di Malaysia mencapai rekod tahunan tersebut, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pemunggahan tersibuk negara. - DagangNews.com

Terkini standard