Pelabur asing beli RM179 juta ekuiti tempatan bagi minggu kedua berturut-turut – MIDF Research

Business & Finance
24 Jul 2023 • 9:31 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelabur asing beli RM179 juta ekuiti tempatan bagi minggu kedua berturut-turut – MIDF Research

diyana

24/07/2023 - 09:31

KUALA LUMPUR 24 Julai - Pelabur asing telah membeli bersih ekuiti tempatan buat minggu kedua berturut-turut, walaupun pada kadar sederhana RM179 juta, berbanding RM570.9 juta minggu sebelumnya, kata MIDF Research.

Menurut firma penyelidikan itu, ia adalah minggu dagangan yang dipendekkan kerana cuti umum Awal Muharram pada Rabu, dengan pelabur asing membeli bersih pada Isnin (RM56.3 juta), Khamis (RM71 juta) dan Jumaat (RM61.7 juta) tetapi menjual bersih pada Selasa sebanyak RM10.1 juta.

“Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk pelabur asing minggu lepas adalah utiliti (RM107 juta), teknologi (RM73.5 juta) dan pembinaan (RM68.4 juta).

“Tiga sektor terbawah dengan aliran keluar adalah produk dan perkhidmatan pengguna (RM103.1 juta), perkhidmatan kewangan (RM35.8 juta) dan REIT (RM11.2 juta),” menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research hari ini.

Firma itu berkata pelabur asing telah menjual bersih RM3.7 bilion setakat ini.

Sementara itu, pelabur institusi tempatan mengekalkan jualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut, mencatatkan aliran keluar RM91.3 juta.

“Mereka membeli bersih pada Isnin (RM9.8 juta) dan Selasa (RM2.8 juta) sebelum jualan bersih pada Khamis (RM49 juta) dan Jumaat (RM54.9 juta). Setakat ini, institusi tempatan telah membeli bersih RM3.53 bilion,” tambahnya.

Seperti pelabur institusi tempatan, pelabur runcit tempatan juga menjual bersih bagi minggu kedua berturut-turut sebanyak RM87.7 juta.

Menurut firma itu, mereka hanya membeli bersih RM7.2 juta pada Selasa, manakala aliran keluar dicatatkan pada Isnin (RM66.1 juta), Khamis (RM22 juta) dan Jumaat (RM6.8 juta).

Pelabur runcit tempatan telah membeli bersih RM165.8 juta setakat ini.

Dari segi pergerakan pelabur, nilai purata dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing menurun 2.9%, manakala pelabur runcit dan institusi tempatan menyaksikan peningkatan masing-masing sebanyak 6.8% dan 17.4%. - DagangNews.com