Pelabur asing catat jualan bersih RM2.34 bilion ekuiti Malaysia pada 2023 – Maybank IB
diyana
04/01/2024 - 10:20
KUALA LUMPUR 4 Jan - Pelabur asing catat jualan bersih sebanyak RM2.34 bilion ekuiti Malaysia pada 2023, dengan aliran keluar berlaku dalam tujuh daripada 12 bulan pada 2023, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Penganalisis firma itu, Wong Chew Hann menjelaskan bahawa jumlah jualan tersebut menguncup selepas aliran masuk tertinggi pada November berjumlah RM1.55 bilion dan penambahan kecil RM260 juta pada Disember.
Beliau berkata, pembelian bersih diperhatikan dalam sembilan daripada 20 hari dagangan pada Disember dan pegangan asing dalam pasaran pada 2023 diakhiri pada 19.5%, iaitu paras terendah berbilang tahun, turun 1.1 mata peratusan berbanding 20.6% pada akhir 2022.
Sementara itu, pelabur institusi tempatan mencatat pembelian bersih RM3.31 bilion bagi keseluruhan 2023 selepas mengakhiri dagangan pada Disember dengan penjualan RM160 juta ekuiti Malaysia.
Pelabur runcit tempatan pula telah menjual RM90 juta pada Disember, menaikkan jualan bersih mereka pada 2023 kepada RM970 juta.
“Penyertaan perdagangan Disember (kecuali transaksi perniagaan langsung) adalah 31.2% pelabur asing, 42.8% pelabur institusi tempatan dan 26% pelabur runcit pada purata nilai dagangan harian (ADTV) ekuiti sebanyak RM2.82 bilion.
“Secara keseluruhan 2023, penyertaan perdagangan (kecuali transaksi perniagaan langsung) adalah 29.5% asing (2022: 27.2%), 43.3% pelabur institusi tempatan (2022: 46.6%) dan 27.2% pelabur runcit (2022: 26.3%) pada ADTV ekuiti berjumlah RM2.29b (2022: RM2.18 bilion),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Mengulas tentang pasaran ekuiti di rantau ASEAN, Wong berkata, pelabur asing turut mencatat jualan pada Disember 2023 di Indonesia (AS$500 juta), Filipina (AS$20 juta) serta jualan marginal dalam Thailand dan Vietnam setiap satu sebanyak (AS$410 juta).
Menurut Wong, pelabur asing turut mencatat penjualan di pasaran ASEAN lain pada keseluruhan 2023 dengan Thailand mencatat jumlah tertinggi sebanyak AS$5.51 bilion, diikuti oleh Vietnam (AS$1.03 bilion), Filipina (AS$860 juta), Malaysia (AS$500 juta) dan Indonesia (AS$350 juta).
“Pembelian asing pada Disember 2023 (mengikut nilai) tertumpu kepada dua bank besar, Maybank dan CIMB Group Holdings Bhd, diikuti oleh YTL Corp Bhd, Frontken Corp Bhd dan Genting Bhd, manakala jualan teratas mereka pada bulan itu pula adalah RHB Bank Bhd, Nestle (Malaysia) Bhd, Tenaga Nasional Bhd, Inari Amertron Bhd dan UMW Holdings Bhd.
“Bagi sepanjang tahun 2023, jualan teratas pelabur asing adalah RHB, Petronas Chemicals Group Bhd, Public Bank Bhd, CIMB dan Hong Leong Bank Bhd, manakala pembelian teratas ialah YTL Corp, YTL Power International Bhd, Maybank, Gamuda Bhd dan Frontken,” tambahnya. - DagangNews.com


