Pelabur asing jual ekuiti RM89.9 juta di Bursa Malaysia, minggu ketiga berturut-turut, kata MBSB Research

LocalBusiness & Finance
28 Jul 2025 • 9:26 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelabur asing jual ekuiti RM89.9 juta di Bursa Malaysia, minggu ketiga berturut-turut, kata MBSB Research

image is not available

28/07/2025 - 09:26

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - Pelabur asing meneruskan rentak jualan di Bursa Malaysia untuk minggu ketiga berturut-turut apabila mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM89.9 juta pada minggu lalu.

MBSB Research berkata, jumlah itu bagaimanapun lebih kecil berbanding aliran keluar pada minggu sebelumnya sebanyak RM206.1 juta.

Katanya, pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan kecuali Rabu dan Khamis, dengan aliran keluar antara RM21 juta hingga RM136.5 juta.

"Aliran keluar terbesar direkodkan pada Jumaat, diikuti Isnin dengan RM52.3 juta dan Selasa dengan RM21 juta.

"Rabu dan Khamis mencatatkan aliran masuk bersih masing-masing sebanyak RM97.3 juta dan RM22.6 juta," katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk bersih tertinggi pelabur asing ialah pengangkutan & logistik (RM158.7 juta), utiliti (RM69.5 juta) dan pembinaan (RM51.4 juta).

Katanya, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar bersih pelabur asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM174.1 juta), teknologi (RM80.8 juta) dan telekomunikasi & media (RM70.8 juta).

Institusi tempatan meneruskan jualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM15.5 juta, lebih kecil berbanding aliran keluar minggu sebelumnya sebanyak RM33.3 juta.

Sementara itu, peruncit tempatan meneruskan aktiviti belian bersih mereka untuk minggu ketiga berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM105.4 juta.

Purata volum dagangan harian (ADTV) mencatatkan penurunan secara menyeluruh minggu lalu. Pelabur asing dan peruncit tempatan mencatatkan penurunan sebanyak 5.5% dan 2.1% masing-masing, manakala institusi tempatan mencatatkan penurunan sederhana sebanyak 0.8%. - DagangNews.com

featured standard