Pelabur asing jual RM1.51 bilion ekuiti tempatan minggu lalu, 3 kali ganda lebih tinggi – MIDF Research
diyana
11/03/2024 - 14:36
KUALA LUMPUR 11 Mac - Aliran keluar pelabur asing dalam ekuiti tempatan melonjak tiga kali ganda kepada RM1.51 bilion minggu lalu berbanding RM503 juta pada minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata menjelang akhir minggu dagangan, terdapat penyederhanaan dalam jumlah jualan bersih.
“Ini mungkin dipengaruhi oleh keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3% seperti yang dijangkakan," kata firma penyelidikan itu dalam laporan aliran dana mingguan hari ini.
Menurut firma penyelidikan itu, sektor hartanah mencatatkan aliran masuk terbesar sebanyak RM73 juta, diikuti pengangkutan dan logistik (RM44 juta) dan pembinaan (RM19.7 juta).
Bagi sektor dengan aliran keluar asing tertinggi adalah perkhidmatan kewangan dengan RM940.9 juta, produk dan perkhidmatan industri (RM181.5 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM153.3 juta).
Sementara itu, pelabur institusi tempatan meningkatkan pembelian bersih ekuiti Malaysia hingga tiga kali ganda kepada RM1.42 bilion minggu lalu berbanding RM443.5 juta pada minggu sebelumnya.
Pelabur runcit tempatan turut membeli bersih bagi minggu kedua berturut-turut, berjumlah RM94.8 juta.
Dari segi pergerakan pelabur, purata nilai dagangan harian (ADTV) menurun merentasi semua kelas pelabur dengan pelabur runcit tempatan menyusut 23.2%, manakala pelabur institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing menyaksikan penurunan sebanyak 22.4% dan 41.9%. - DagangNews.com


