Pelabur asing kekal beli RM382.8 juta ekuiti tempatan bagi minggu keempat berturut-turut, kata MIDF Research

Business & Finance
27 Nov 2023 • 9:17 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelabur asing kekal beli RM382.8 juta ekuiti tempatan bagi minggu keempat berturut-turut, kata MIDF Research

diyana

27/11/2023 - 09:17

KUALA LUMPUR 27 Nov - Pelabur asing mengekalkan kedudukan mereka sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia bagi minggu keempat berturut-turut, dengan jumlah RM382.8 juta minggu lepas, dua kali ganda lebih tinggi berbanding RM172.4 juta pada minggu sebelumnya.

MIDF Research berkata mereka membeli bersih setiap hari pada minggu lalu, dengan aliran masuk tertinggi pada Selasa berjumlah RM232.6 juta.

Menurut firma penyelidikan itu, mereka juga membeli bersih pada Isnin (RM6.5 juta), Rabu (RM36.6 juta), Khamis (RM74 juta) dan Jumaat (RM33.1 juta).

“Tiga sektor teratas dengan aliran masuk pelabur asing tertinggi adalah utiliti (RM86.4 juta), penjagaan kesihatan (RM85.2 juta) dan teknologi (RM82 juta).

“Manakala tiga sektor teratas dengan aliran keluar pelabur asing tertinggi adalah produk dan perkhidmatan pengguna (RM38.9 juta), tenaga (RM21.2 juta) serta telekomunikasi dan media (RM20.1 juta),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, pelabur institusi tempatan terus mencatat jualan bersih untuk minggu keempat berturut-turut, melupuskan RM355 juta ekuiti.

MIDF Research berkata pelabur institusi tempatan membeli bersih RM11 juta pada Isnin namun menjual bersih dari Selasa hingga Jumaat.

Manakala pelabur runcit tempatan meneruskan rentetan jualan bersih mereka untuk minggu ketujuh berturut-turut, dengan jualan bersih berjumlah RM27.8 juta.

Mereka membeli bersih RM24.6 juta pada Rabu sahaja tetapi merupakan penjual bersih untuk sepanjang minggu.

“Dari segi pergerakan pelabur, purata nilai dagangan harian (ADTV) meningkat dalam kalangan pelabur runcit tempatan sebanyak 4.9% dan institusi tempatan sebanyak 9.8%, tetapi menurun dalam kalangan pelabur asing sebanyak 5.4%,” katanya. - DagangNews.com