Pelabur asing kekal jual ekuiti Malaysia, aliran keluar naik lebih empat kali ganda kepada RM211 juta – MIDF Research
diyana
22/05/2023 - 09:52
KUALA LUMPUR 22 Mei - Pelabur asing kekal menjual bersih ekuiti tempatan lebih empat kali ganda kepada RM211 juta berbanding RM46.4 juta pada minggu sebelumnya, kata MIDF Research.
Ini menjadikan pelabur asing penjual bersih bagi minggu kelima berturut-turut dan setakat ini bagi 2023, mereka telah mencatat aliran keluar untuk 14 daripada 20 minggu yang berjumlah RM2.39 bilion.
Pada minggu lalu, pelabur asing telah menjual bersih setiap hari, kecuali Khamis dengan aliran masih sebanyak RM38.5 juta yang menyaksikan pembelian bersih kaunter saham Maybank sebanyak RM16.9 juta, diikuti Top Glove (RM9.9 juta), IHH Healthcare (RM9.8 juta) dan Inari Amertron (RM8.2 juta).
Jumaat merekodkan jualan bersih susulan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan pertumbuhan perdagangan merosot 14.5% tahun ke tahun (YoY) pada April 2023 akibat eksport domestik menurun.
“Tiga sektor teratas yang merekodkan aliran masuk pelabur asing adalah pengangkutan dan logistik (RM37.4 juta), teknologi (RM3.3 juta) dan penjagaan kesihatan (RM1.9 juta), manakala tiga sektor teratas dengan aliran keluar adalah produk dan perkhidmatan pengguna (RM70 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM40.5 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM32.5 juta),” kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.
Sementara itu, pelabur institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu keempat berturut-turut sebanyak RM355.6 juta atau kira-kira tujuh kali lebih tinggi daripada jumlah pembelian bersih pada minggu sebelumnya.
Pelabur institusi tempatan membeli bersih bagi setiap hari dagangan dengan aliran masuk tertinggi dicatatkan pada Selasa pada RM105.3 juta, menjadikan mereka pembeli bersih selama 15 daripada 20 minggu, merekodkan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.45 bilion.
Sebaliknya, pelabur runcit tempatan terus menjual bersih untuk minggu ketiga berturut-turut berjumlah RM144.6 juta .
“Setiap hari dagangan merupakan hari jualan bersih oleh pelabur runcit tempatan, dengan aliran keluar tertinggi dicatatkan pada Khamis sebanyak RM65.1 juta.
Setakat ini, pelabur runcit tempatan telah menjadi penjual bersih selama 11 daripada 20 minggu, menghasilkan jumlah aliran keluar sebanyak RM51.2 juta,” tambahnya.
Dari segi pergerakan pelabur, purata volum dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan telah menyusut pada pelabur runcit (4.8%), pelabur institusi tempatan (5.6%) dan pelabur asing (10.5%). -DagangNews.com

