Pelabur asing terus beli RM131.8 juta ekuiti Malaysia bagi minggu kedua berturut-turut, kata MIDF Research
diyana
05/02/2024 - 09:22
KUALA LUMPUR 5 Feb - Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih ekuiti tempatan untuk minggu kedua berturut-turut, menyumbang kepada aliran masuk RM131.8 juta pada minggu lepas, kata MIDF Research.
Ia adalah minggu dagangan yang pendek berikutan Hari Wilayah Persekutuan pada Khamis.
Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing menjual bersih pada Isnin (RM96.2 juta) dan Selasa (RM24.6 juta) namun mencatat pembelian bersih pada Rabu dan Jumaat masing-masing sebanyak RM166 juta dan RM86.6 juta.
“Tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing tertinggi ialah telekomunikasi dan media (RM85.5 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM37.5 juta) serta perladangan (RM23.2 juta).
“Sementara itu, tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing tertinggi ialah utiliti (RM84.8 juta), hartanah (RM49.2 juta) dan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) (RM16 juta),” katanya dalam laporan aliran dana mingguan hari ini.
Bagi pelabur institusi tempatan pula, MIDF Research berkata mereka terus menjual bersih untuk minggu kedua berturut-turut selepas mencatat aliran keluar bernilai RM141.3 juta minggu lepas.
Firma itu berkata, sebahagian besar jualan bersih berlaku pada Rabu dan Jumaat masing-masing berjumlah RM175.1 juta dan RM116.8 juta.
Mereka membeli bersih RM97.3 juta pada Isnin dan RM53.3 juta pada Selasa, tambahnya.
Pelabur runcit tempatan pula merekodkan aliran masuk mingguan pertama mereka tahun ini sebanyak RM9.5 juta selepas jualan bersih selama empat minggu berturut-turut.
“Mereka membeli bersih RM9.1 juta pada Rabu dan RM30.2 juta pada Jumaat, selepas jualan bersih pada Isnin (RM1.1 juta) dan Selasa (RM28.8 juta),” katanya.
Dari segi pergerakan pelabur, MIDF Research menyatakan bahawa terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing sebanyak 4.5% manakala pelabur runcit tempatan dan pelabur institusi tempatan menyaksikan penurunan masing-masing sebanyak 17.5% dan 15.5%. - DagangNews.com



