Pelabur asing terus beli RM550.9 juta ekuiti Malaysia buat minggu kedua berturut-turut, kata MIDF Research
diyana
25/09/2023 - 09:48
KUALA LUMPUR 25 Sept - Pelabur asing terus membeli bersih ekuiti Malaysia sebanyak RM550.9 juta minggu lepas, iaitu dua kali ganda lebih tinggi daripada minggu sebelumnya dan tertinggi sejak lapan minggu lalu.
MIDF Research berkata pelabur asing telah mencatat aliran masuk setiap hari pada minggu lepas lebih RM100 juta, kecuali pada Khamis apabila jumlah itu menjadi sederhana kepada RM48.7 juta selepas kenaikan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) dikekalkan bagi tahun kedua.
“Tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk asing tertinggi adalah utiliti (RM197 juta), pengangkutan dan logistik (RM110.1 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM72.8 juta).
“Sementara itu, tiga sektor dengan aliran keluar tertinggi adalah produk dan perkhidmatan perindustrian (RM38.6 juta), penjagaan kesihatan (RM37.5 juta) dan telekomunikasi dan media (RM8.4 juta),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut firma penyelidikan itu, pelabur asing telah menjadi penjual bersih berjumlah RM1.92 bilion setakat ini.
Pelabur institusi tempatan mengekalkan jualan bersih minggu lepas pada RM472.5 juta, yang tertinggi sejak setahun lalu pada minggu berakhir 19 Ogos 2022, di mana ia mencatatkan jualan bersih RM675.9 juta.
Mereka telah menjadi penjual bersih setiap hari dalam seminggu, dengan rentetan jualan bersih selama lapan hari dan telah mencatat aliran keluar RM2.68 bilion setakat ini.
Sementara itu, pelabur runcit tempatan terus mencatat jualan bersih untuk minggu ke-11 berturut-turut selepas melupuskan RM78.4 juta bersih minggu lepas, trend jualan bersih yang tidak pernah dilihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Mereka membeli bersih RM22.3 juta pada Khamis tetapi menjadi penjual bersih untuk sepanjang minggu. Setakat ini, pelabur runcit mempunyai telah menjual bersih RM765.7 juta.
“Dari segi pergerakan pelabur, terdapat penurunan purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing sebanyak 39.9% minggu lepas, manakala pelabur runcit dan institusi tempatan menyaksikan peningkatan, masing-masing sebanyak 16% dan 14%,” katanya. - DagangNews.com


