Pelaburan domestik turut sumbang pertumbuhan ekonomi Malaysia

13 Oct 2024 • 5:50 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh bukan semata-mata didorong oleh pelaburan langsung asing (FDI) tetapi turut disumbang oleh pelaburan domestik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-78 Dewan Perniagaan dan Industri China Bersekutu (ACCCIM) di sini hari ini berkata beliau mengaitkan momentum positif pelaburan domestik itu disebabkan minat, keyakinan dan komitmen semakin meningkat ditunjukkan oleh pemain industri tempatan.

“Pelaburan domestik telah meningkat secara luar biasa, oleh itu saya berterima kasih kepada anda (sektor swasta).

“Susulan itu, jika terdapat momentum pelaburan domestik yang mengagumkan maka saya tidak sepatutnya mengenakan cukai kepada anda (sektor swasta) terlalu tinggi,” katanya secara berseloroh.

Beliau berkata sektor swasta termasuk perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PKMS) akan diberi tumpuan khusus dalam Belanjawan 2025.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Bajet di Parlimen pada Jumaat, 18 Oktober ini.

– BERNAMA