
Kota Kinabalu: Nilai pelaburan keseluruhan loji pembuatan keluli hijau bernilai berbilion ringgit oleh Esteel Enterprise Sdn Bhd di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip) meningkat kepada RM31 bilion, berbanding RM19.6 bilion sebelum ini, susulan penilaian teknikal terperinci dan peluasan skop, kata Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.
“Berkaitan jumlah nilai pelaburan, memang benar pada awalnya ketika pelabur masuk, mereka menyatakan minat dengan jangkaan jumlah perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM19.6 bilion.
“Tetapi selepas perbincangan lanjut, banyak penambahbaikan dibuat dan berdasarkan spesifikasi terkini yang dikemas kini dan disemak semula, jumlah pelaburan tersebut telah disemak naik kepada RM31 bilion seperti yang diumumkan baru-baru ini.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Angka ini adalah berdasarkan semakan dan penyerahan terkini oleh syarikat, yang meliputi pelaburan secara berperingkat termasuk pembinaan loji, kemudahan jeti dan pelbagai infrastruktur sokongan lain,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan, Datuk Jannie Lasimbang pada sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah.
Jannie meminta penjelasan berhubung peningkatan ketara daripada RM19.6 bilion pada 2022 kepada RM31 bilion baru-baru ini.
Sebelum ini, Phoong berkata RM19.6 bilion adalah untuk ketiga-tiga fasa, namun pelarasan tersebut berlaku disebabkan perubahan reka bentuk teknikal dan skop kerja serta anggaran kos yang hanya dapat dimuktamadkan selepas kajian teknikal yang lebih terperinci diselesaikan. Katanya, perkara itu disemak dari semasa ke semasa.
“Ini adalah amalan biasa. Pada awalnya anggaran kos mungkin satu jumlah, tetapi dalam tempoh tiga tahun ini, kos dan skop projek telah berubah dan teknologi juga semakin maju.
“Beberapa faktor lain juga diambil kira seperti kadar pertukaran mata wang, kenaikan harga bahan binaan serta peningkatan kos teknologi baharu,” katanya.
Terdahulu, Phoong berkata Esteel telah meningkatkan pelaburan dan kapasiti operasinya di Sabah, menandakan keyakinan kukuh terhadap prospek ekonomi negeri dengan beberapa pencapaian utama direkodkan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
Beliau berkata, keyakinan itu dibuktikan dengan pemeteraian Perjanjian Pajakan Tanah bagi pembangunan Fasa 2 dan Fasa 3 di Sogip pada 31 Disember 2024.
Beliau berkata, langkah itu disertai pembayaran deposit berjumlah RM35 juta sebagai langkah awal bagi memudahkan pelaksanaan pelaburan tersebut.
Phoong berkata, selepas kelulusan Lesen Pembuatan (FML) pada penghujung Januari tahun ini, Esteel telah mengambil langkah proaktif dan susulan secara sistematik untuk memastikan pelaksanaan pelaburan di Sogip, Sipitang dapat direalisasikan.
“Pada Februari, Esteel menandatangani Perjanjian Pembekalan Gas Asli bersama Sabah Energy Corporation (SEC) dan Petronas.
“Perjanjian ini amat penting bagi menjamin bekalan gas asli dan tenaga yang stabil serta mencukupi untuk loji pembuatan keluli hijau syarikat itu di Sogip.
“Langkah ini mengukuhkan lagi jaminan keperluan utiliti asas yang kritikal bagi kejayaan projek pelaburan berimpak tinggi ini,” katanya.
Phoong berkata demikian ketika menjawab soalan Jannie mengenai perkembangan terkini dan status projek Esteel sehingga suku pertama tahun ini.
“Selepas menyiapkan proses reka bentuk semula bagi menyesuaikan skala operasi yang diperluaskan, Esteel memberi tumpuan penuh pada Mac dan April 2025 untuk melaksanakan proses tender terbuka dan telus bagi memilih kontraktor pembinaan jeti persendirian.
“Hasil usaha ini, Esteel menandatangani Kontrak Pembinaan Jeti Fasa 1 bersama China Communications Construction Company (CCCC) pada 30 Mei 2025 — tarikh sama dengan majlis pelancaran rasmi Projek Pelaburan Fasa 1 syarikat itu, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri.
“Pencapaian ini menjadi penanda aras penting yang memacu pelaksanaan infrastruktur sokongan yang diperlukan untuk merealisasikan pelaburan strategik berimpak tinggi ini,” katanya.
Pada masa sama, Phoong berkata beberapa perkembangan utama lain turut dicapai bagi memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan untuk memulakan kerja-kerja pembinaan secara menyeluruh dan sistematik. Antara perkembangan tersebut ialah:
a) Pelan Pembangunan (DP) bagi loji pembuatan keluli hijau telah diluluskan oleh Majlis Daerah Sipitang.
b) Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) telah diteliti dan diluluskan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, memastikan pelaksanaan projek mematuhi keperluan dan peraturan semasa berkaitan kelestarian alam sekitar.
c) Pelan Kerja Tanah telah diluluskan oleh Majlis Daerah Sipitang, membolehkan kerja-kerja fizikal di tapak dijalankan mengikut spesifikasi teknikal yang ditetapkan.
d) Syarat kelulusan EIA yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar juga telah ditandatangani, mencerminkan komitmen pelabur terhadap pemeliharaan alam sekitar sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Bagi mempercepatkan kemajuan pembinaan loji tersebut, Phoong berkata Esteel telah memuktamadkan perjanjian kontrak dengan syarikat yang dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyediaan tapak.
Pada masa ini, katanya, kerja-kerja pembersihan dan penyediaan tapak sedang giat dijalankan.
“Pelabur amat yakin bahawa menjelang Julai dan Ogos 2025, perubahan fizikal yang ketara di tapak akan dapat dilihat, mencerminkan kemajuan sebenar di lapangan dan komitmen berterusan syarikat dalam merealisasikan pembangunan industri keluli hijau bersepadu di Sabah.
“Secara keseluruhan, perkembangan positif ini bukan sahaja merancakkan kemasukan pelaburan asing ke negeri ini, tetapi turut mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk pekerja tempatan, meningkatkan keupayaan syarikat tempatan serta merangsang pertumbuhan sektor hiliran dan ekosistem sokongan industri di Sabah.
“Ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memposisikan Sabah sebagai hab industri berteknologi tinggi di rantau ini,” katanya.
Phoong memberi jaminan bahawa Kementeriannya kekal komited untuk terus menyelaras dan mempermudah pelaburan ini bagi mempercepatkan operasi loji tersebut, seterusnya merangsang pertumbuhan sektor pembuatan di Sabah dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

