Pelaburan Hijau Kunci Pencapaian Sasaran Peralihan Tenaga Negara

15 Feb 2024 • 9:38 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Pelaburan Hijau Kunci Pencapaian Sasaran Peralihan Tenaga Negara

Kuala Lumpur, 14 Februari 2024 – Malaysia telah menetapkan sasaran yang jelas ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal tahun 2050, sebagaimana yang digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).

Walau bagaimanapun, usaha peralihan tenaga ini memerlukan pembiayaan yang besar, dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM1.2 trilion sehingga RM1.3 trilion menjelang 2050. Di peringkat awal, bagi tahun 2023 sehingga tahun 2029, dianggarkan RM250 sehingga RM280 bilion diperlukan untuk merealisasikan inisiatif ini. Justeru itu, bagi menangani keperluan pembiayaan yang besar, Malaysia perlu memanfaatkan pelbagai sumber modal termasuk menerusi “Pelaburan Hijau” yang bukan sahaja lebih kompetitif malah dalam masa yang sama, adalah dilihat selari dengan trend pelaburan global semasa yang memberi penekanan terhadap aspek Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social and Governance – ESG).

image is not available

Menyedari peri pentingnya sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi negara, sebuah Jawatankuasa Pemandu Kajian Strategi dan Pelaksanaan Pelaburan Hijau telah diwujudkan yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA). Jawatankuasa ini turut disertai wakil daripada Kementerian Ekonomi (KE), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Manakala, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) merupakan sekretariat kepada jawatankuasa ini.

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof semasa mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemandu Kajian Strategi dan Pelaksanaan Pelaburan Hijau, telah menekankan, “Dalam usaha memperkasa strategi menarik pelaburan hijau, satu kajian jangka masa singkat adalah perlu bagi memastikan pelaksanaan peralihan tenaga dan pelaburan hijau yang lebih berkesan, teratur dan sistematik, yang seterusnya akan dapat meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama”.

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri turut menjelaskan bahawa “Kajian jangka masa pendek ini, seperti mana yang telah dipersetujui oleh Mesyuarat Pelaburan Negara dan Jemaah Menteri masing-masing pada 9 Januari dan 24 Januari 2024, adalah satu langkah yang tepat pada masanya dan merupakan titik tolak kepada perangkaan strategi dan pelan pelaksanaan bersasar bagi menggerakkan agenda pelaburan hijau negara yang lebih berkesan, teratur dan sistematik.”

Pelaksanaan kajian ini merupakan pelengkap kepada NIMP dan NETR yang akan mengenal pasti antaranya:

  1. Senarai peluang pelaburan hijau berdasarkan enam (6) energy transition levers di bawah NETR;
  2. Senarai keutamaan pelaburan hijau;
  3. Sinergi antara peluang pelaburan hijau dan sektor yang dikenal pasti;
  4. Localisation of opportunities; dan
  5. Peluang yang bakal direalisasikan menerusi formulasi strategi bagi sektor sedia ada.

Selain itu, Jawatankuasa Pemandu juga telah bersetuju supaya skop kajian turut diperluaskan untuk merangkumi aspek kerangka perundangan (legal framework) bagi Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS). Ini mengambil kira pengiktirafan Kerajaan terhadap aktiviti CCUS sebagai salah satu strategi baharu pertumbuhan hijau dan rendah karbon negara. Justeru, terdapat keperluan bagi mewujudkan satu (1) kerangka perundangan berkaitan tadbir urus CCUS ini bagi membolehkan semua pihak yang berkepentingan jelas dengan hala tuju Malaysia dalam pertumbuhan hijau sekaligus mendukung aspirasi pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.

image is not available