Pelaburan KWAP rugi di Jakarta tetapi untung secara keseluruhan

LocalBusiness & Finance
20 Oct 2026 • 2:11 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pelaburan KWAP rugi di Jakarta tetapi untung secara keseluruhan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku wujud kelemahan besar dalam proses pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) di Jakarta, Indonesia.

Menurut Perdana Menteri, kelemahan itu berlaku apabila keputusan pelaburan terlalu bergantung pada trend antarabangsa dan panduan institusi luar, termasuk SoftBank serta beberapa syarikat besar dari Eropah dan Jepun.

Katanya, kepercayaan terhadap reputasi institusi antarabangsa tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan penelitian dan tanggungjawab dalam menguruskan wang rakyat.

“Dalam kes ini, kita bergantung pada SoftBank dan beranggapan mereka tidak mungkin membuat pelaburan secara cuai, tetapi kenyataannya begitu.

“Saya akuilah (terdapat kelemahan)… tetapi tidak boleh menafikan keberhasilan KWAP keseluruhannya yang mencatat keuntungan lumayan, itu yang nyata. Tetapi kelemahan itu (juga) harus kita akui,” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) berhubung kerugian besar dalam pelaburan KWAP, termasuk langkah kerajaan mengenal pasti pihak bertanggungjawab dan penambahbaikan bagi memperketat proses pelaburan wang awam pada masa depan bagi mengelakkan kerugian.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun cadangan pelaburan diteliti Jawatankuasa Pelaburan sebelum dibawa ke peringkat lembaga, kelemahan yang berlaku menunjukkan keperluan untuk memperkukuhkan proses penilaian sedia ada.

Beliau berkata, pengurusan dana awam menuntut penelitian dan tanggungjawab lebih tinggi bagi memastikan setiap keputusan pelaburan dibuat dengan telus.

“Saya terima peringatan bahawa dalam menjaga amanah wang rakyat itu harus ada beberapa proses lebih ketat lagi.

“Walaupun saya lihat memang prosesnya (sedia ada) ketat tetapi disebabkan kita bergantung pada SoftBank (perkara itu berlaku).

“Jadi, (tindakan) yang dilakukan ialah memperketatkan lagi peraturan, bukan saja ikut trend international (antarabangsa) tetapi juga bertanggungjawab dalam kes ini,” katanya.

Sebelum ini, KWAP dilaporkan mengalami kerugian kira-kira RM200 juta selepas diperdaya menerusi penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan membabitkan syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery.

 Anwar dipetik berkata, keputusan pelaburan KWAP dalam eFishery dibuat melalui proses penilaian dan tadbir urus berdasarkan maklumat tersedia, termasuk pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.

 Tahun lalu, pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dihukum penjara sembilan tahun oleh sebuah mahkamah di Bandung, Indonesia, selepas disabitkan kesalahan melakukan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

The post Pelaburan KWAP rugi di Jakarta tetapi untung secara keseluruhan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved