Pelaburan pengairan RM1.15 juta stabilkan bekalan air pesawah Kada

LocalBusiness & Finance
14 May 2026 • 9:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelaburan pengairan RM1.15 juta stabilkan bekalan air pesawah Kada
Khalid (dua dari kanan) yang melihat stesen pam pengairan berfungsi. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Image from: Pelaburan pengairan RM1.15 juta stabilkan bekalan air pesawah Kada
Stesen Pam Pengairan Gong Tambak yang mula berfungi bagi memberikan bekalan air ke sawah berdekatan. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

PASIR PUTEH - [DIKEMAS KINI] Usaha memperkukuh sistem pengairan sawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) terus diperkasa apabila Stesen Pam Pengairan Gong Tambak di sini bernilai lebih RM1.15 juta kini berfungsi sebagai antara komponen penting dalam menjamin kelangsungan bekalan air sawah serta memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.

Pengerusi Kada, Khalid Abd Samad berkata, infrastruktur pengairan seperti stesen pam itu merupakan intervensi penting bagi memastikan sistem pengairan dan saliran kawasan sawah berada pada tahap lebih cekap, stabil dan mampan dalam mendepani cabaran sektor pertanian semasa.

“Projek ini akan memberi manfaat kepada 43 petani melibatkan kawasan Bendang Gong Tambak dan Bendang Kubang Tok Yoh dengan keluasan kira-kira 128 hektar sawah.

“Adanya kemudahan pam ini, bekalan air ke kawasan sawah dapat disalurkan dengan lebih stabil terutama ketika musim kering selain membantu mengurus saliran ketika hujan lebat bagi mengelakkan kerosakan tanaman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stesen Pam Pengairan Gong Tambak di sini pada Khamis.

Ujar beliau, sektor padi negara ketika ini berdepan pelbagai tekanan termasuk perubahan iklim, kenaikan suhu global, peningkatan kos input pertanian seperti baja dan bahan api, kekurangan tenaga kerja serta gangguan terhadap sumber air pertanian.

“Sebarang gangguan bekalan air boleh menjejaskan hasil serta pengeluaran beras negara.

“Jadi, pembinaan stesen pam bukan sekadar projek fizikal tetapi pelaburan strategik jangka panjang yang menyokong agenda keterjaminan makanan negara,” katanya.

**media[3521030]**

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan projek Sistem Pam Kemubu 4 di Ketereh, Kota Bharu yang bernilai hampir RM20 juta turut membantu menstabilkan bekalan air di kawasan jelapang padi termasuk Bachok dan sekitar.

Tambah beliau, hasil penuaian padi musim 2/2026 setakat ini menunjukkan perkembangan positif dengan kira-kira 45 peratus daripada 24,838 hektar sudah dituai, manakala selebihnya masih dalam fasa matang.

Sementara itu, beliau turut menafikan dakwaan 50 peratus daripada 7,000 pesawah di Kelantan tidak dapat menanam padi pada musim akan datang akibat masalah bekalan air.

Menurutnya, angka tersebut tidak tepat kerana jumlah 7,000 pesawah itu hanya melibatkan kawasan di bawah Kada dan tidak merangkumi keseluruhan pesawah di Kelantan yang turut diselaras oleh agensi lain seperti IADA Kemasin Semerak dan Lembaga Pertubuhan Peladang.

“Selain itu, aktiviti penanaman padi di bawah Kada juga belum mencapai separuh fasa musim penuaian, dan keadaan semasa termasuk operasi pam serta perubahan cuaca dengan permulaan monsun baharu menunjukkan situasi bekalan air masih terkawal,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa laporan berkenaan adalah tidak berasas dan tidak mengambil kira sumber sahih serta perkembangan semasa di lapangan.

“Selepas ini, saya berharap semua pihak merujuk kepada sumber yang sahih sebelum mengeluarkan sebarang laporan,” katanya.

View Original Article