
Pelajar wanita ditemui tidak sedarkan diri berhampiran pusat hiburan dan telah disahkan meninggal dunia
Pelajar 24 Tahun Dijumpai Tidak Sedarkan Diri Di Kuching, Disahkan Meninggal Dunia. Baru-baru ini, seorang wanita yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan berhampiran sebuah pusat hiburan di Kuching telah disahkan meninggal dunia, semalam.
Menurut laporan, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah menyatakan bahawa mangsa yang berusia 24 tahun itu dihantar oleh pekerja pusat hiburan tersebut dan dirujuk ke pusat perubatan sekitar jam 3.29 pagi pada 16 Oktober lalu.
“Namun dia telah disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke pusat perubatan oleh doktor yang bertugas.
Wanita itu dipercayai pelajar pusat pengajian swasta di Kuching
“Mangsa merupakan penuntut di sebuah pusat pengajian swasta di ibu kota tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam, memetik sumber.
Pihak polis tidak menemui sebarang unsur jenayah semasa siasatan awal, justeru kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
“Keterangan keluarga mangsa dan beberapa saksi lain telah selesai diambil. Pihak polis komited menjalankan siasatan menyeluruh sementara menunggu laporan bedah siasat yang telah dijalankan pada 17 Oktober 2023,” katanya.
Pihak berkuasa berharap tidak membuat spekulasi mengenai perkara tersebut
Berikutan itu, pihak berkuasa menggalakkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa. Malah, pihak polis turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

