Pelajar bantah penyelewengan peperiksaan perkhidmatan awam

WorldPolitics
10 Aug 2026 • 5:15 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pelajar bantah penyelewengan peperiksaan perkhidmatan awam

RANCHI: Ratusan pelajar India berarak menuju ke Dewan Undangan Negeri Jharkhand hari ini bagi meneruskan bantahan terhadap dakwaan penyelewengan dalam peperiksaan pengambilan pekerja kerajaan.

Demonstrasi itu turut disertai sekurang-kurangnya enam pelajar yang melancarkan mogok lapar, termasuk pemimpin pelajar, Devendra Nath Mahto, 33, yang sudah berpuasa selama lebih seminggu.

Protes di Ranchi, ibu negeri Jharkhand yang mempunyai lebih 33 juta penduduk, bermula pada 29 Julai susulan dakwaan berlaku penyelewengan dalam peperiksaan perkhidmatan awam negeri.

“Kami mahu keseluruhan sistem berubah,” kata Mahto seperti dipetik media India, sambil menuntut kerajaan menghentikan penggunaan syarikat swasta yang mengendalikan peperiksaan bagi perkhidmatan awam negeri.

Pada Isnin, ratusan anggota polis ditempatkan di sekitar Dewan Undangan Negeri dan mengawal kawasan berkenaan menggunakan penghadang dawai berduri.

Penempatan anggota keselamatan itu dibuat selepas beberapa siri rundingan antara penunjuk perasaan dan kerajaan negeri gagal mencapai persetujuan.

Ratusan pelajar kemudian berarak menuju ke Dewan Undangan Negeri sambil melaungkan pelbagai slogan bagi mendesak kerajaan memenuhi tuntutan mereka.

Penunjuk perasaan menuntut pembatalan beberapa peperiksaan yang dikendalikan syarikat swasta bagi pihak kerajaan negeri, selain siasatan polis persekutuan terhadap pengendalian peperiksaan berkenaan.

Ketua Menteri Jharkhand, Hemant Soren, berusaha meredakan bantahan itu dengan menerima beberapa tuntutan, manakala beberapa anggota badan perkhidmatan awam yang menyelia peperiksaan berkenaan turut meletakkan jawatan.

“Setiap masalah boleh diselesaikan melalui rundingan,” kata Soren dalam ucapannya semalam.

Protes di New Delhi yang dianjurkan kumpulan dalam talian, Parti Janta Lipas (CJP), berlangsung selama 36 hari susulan dakwaan kegagalan dalam sistem peperiksaan India sebelum Menteri Pendidikan ketika itu, Dharmendra Pradhan, meletakkan jawatan.

Tindakan itu memberikan kemenangan luar biasa kepada gerakan berkenaan dan menjadikan isu integriti peperiksaan sebagai agenda politik utama.

Protes di Jharkhand turut membawa tuntutan sama, mencerminkan kekecewaan lebih luas dalam kalangan golongan muda India yang melihat peperiksaan kerajaan sebagai laluan penting untuk mendapatkan pekerjaan dalam negara yang menyaksikan jutaan orang bersaing bagi mendapatkan peluang pekerjaan sektor awam yang terhad.

Protes di New Delhi sebelum ini mencabar Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, manakala demonstrasi di Jharkhand menyasarkan kerajaan negeri yang merupakan pihak pembangkang kepada BJP.- AFP

The post Pelajar bantah penyelewengan peperiksaan perkhidmatan awam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved