Pelajar, bapa dipukul depan sekolah, beberapa individu ditahan polis

24 Jul 2026 • 9:30 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pelajar, bapa dipukul depan sekolah, beberapa individu ditahan polis

SHAH ALAM, 24 JULAI: Beberapa individu ditahan selepas seorang pelajar berusia 16 tahun dan bapanya dipukul dalam pergaduhan di hadapan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seri Kembangan yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata semua individu terbabit akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya hari ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurutnya, polis menerima laporan berhubung pergaduhan membabitkan beberapa pelajar dan bapa kepada seorang daripada pelajar terbabit.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari pada 3 Julai lalu ketika mangsa sedang menuju ke motosikalnya di luar sekolah.

"Mangsa dipanggil beberapa pelajar sekolah sama sebelum dikepung dan dipukul oleh semua suspek," katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.

Muhamad Farid berkata pelajar berkenaan mengalami luka pada bahagian bibir dan lutut selain sakit serta lebam di seluruh badan akibat kejadian itu.

Katanya, bapa mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan turut dipukul sehingga terjatuh di atas jalan.

"Bapa mangsa mengalami kecederaan di tangan dan kaki serta sakit di seluruh badan. Polis bekerjasama dengan pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan kejadian ini ditangani secara profesional serta mengikut undang-undang," katanya.

Beliau berkata polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved