Pelajar cedera ditampar ustaz

LocalFamily & Parenting
5 Sep 2025 • 3:38 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Hari persekolahan biasa bertukar trauma bagi seorang murid berusia 11 tahun apabila dia didakwa ditampar oleh seorang ustaz ketika sesi pembelajaran di sebuah sekolah di Inanam sehingga menyebabkan mukanya bengkak, hidung berdarah dan gigi longgar.

Bapa mangsa, seorang peniaga berusia 52 tahun, menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang “tidak boleh dimaafkan.” Isterinya berusia 44 tahun adalah seorang suri rumah.

“Isteri saya mula-mula menerima mesej daripada ustaz berkenaan kira-kira jam 1.15 petang yang mengakui bahawa dia telah menampar anak kami.

“Dalam mesej itu, ustaz berkenaan berkata ia berlaku kerana anak saya bergurau dengan seorang rakannya ketika dalam kelas. Saya sukar mempercayainya, ia dilakukan hanya kerana hal kecil begitu. Anak saya ditampar sehingga mukanya bengkak dan hidungnya berdarah,” kata bapa pelajar terbabit.

Ibu bapa pelajar itu terus bergegas ke sekolah.

“Apabila kami tiba, kami lihat anak kami duduk di bilik guru sambil memegang pek ais di pipinya. Matanya merah, wajahnya bengkak dan terdapat kesan jari yang jelas.

“Pakaian seragam sekolahnya ada kesan darah. Sebagai ibu bapa, luluh hati saya melihat keadaannya begitu,” katanya.

Tambahnya, anaknya menangis teresak-esak lalu meluru ke arah mereka.

“Dia beritahu kami tamparan itu terlalu kuat hingga dia jatuh ke belakang dan terhantuk bucu meja. Tiada kanak-kanak yang wajar menerima layanan sebegini, apatah lagi daripada seorang guru yang sepatutnya membimbing mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, permohonan maaf ustaz itu tidak mampu menebus kerosakan yang berlaku.

“Dia mengaku perbuatannya dan meminta maaf, tetapi perkara ini sudah melampaui sekadar ucapan maaf.

“Anak saya baru berusia 11 tahun dan tubuhnya tidak mampu menahan kekerasan seumpama itu. Ini bukan tindakan seorang pendidik, sebaliknya pengkhianatan amanah,” katanya.

Beliau juga menolak cadangan agar isu itu diselesaikan secara dalaman.

“Ada yang meminta kami selesaikan diam-diam di peringkat sekolah, tapi bagaimana saya boleh terima? Kalau kami biarkan, apa mesej yang dihantar? Bahawa guru boleh memukul murid sesuka hati tanpa dikenakan tindakan? Tidak. Kes ini mesti melalui saluran undang-undang yang betul.

“Kejadian ini sudah pun memberi kesan emosi kepada anak saya. Sebelum ini dia ceria dan banyak bercakap. Sekarang dia jadi pendiam dan kelihatan takut. Trauma dialaminya tidak mudah sembuh. Sebab itu saya nekad perjuangkan keadilan, walau selama mana sekalipun,” katanya.

Bapa pelajar itu turut mendedahkan pengalaman lalu apabila anak sulungnya pernah menjadi mangsa buli di sebuah sekolah lain di Kota Belud, yang akhirnya dibawa ke mahkamah.

“Ketika itu, pelaku dihukum. Saya tahu prosesnya dan saya tidak gentar melaluinya sekali lagi untuk pastikan ustaz ini dipertanggungjawabkan,” katanya.

Kes ini mencetuskan perdebatan dalam talian apabila hantaran bapa pelajar di media sosial yang menceritakan kejadian itu mendapat reaksi kuat, dengan 112 komen dan 236 perkongsian dalam beberapa jam, menggambarkan kemarahan meluas daripada ibu bapa dan warganet.

Apabila dihubungi, ustaz terbabit mengakui kesilapannya namun meluahkan kebimbangan terhadap reaksi tular itu.

“Saya tahu kejadian ini sudah tular dan guru besar serta pihak pentadbir sekolah juga sudah maklum. Saya akui ia kesilapan saya, tetapi hantaran tular itu menyebabkan saya menerima ugutan. Saya tidak lagi rasa selamat di sini,” katanya.

Ustaz itu mengesahkan beliau juga membuat laporan polis berasingan untuk keselamatan dirinya.

“Kami sudah mengadakan pertemuan dengan pegawai penyiasat dan keluarga di sekolah. Ibu bapa murid bertegas mahu mengambil tindakan terhadap saya dan saya terima kerana itu memang kesilapan saya.

“Tetapi saya rasa isu ini tidak sepatutnya ditularkan. Kami sudah berbincang secara dalaman dan saya sendiri sudah memohon maaf kepada ibu bapanya,” katanya lagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

“Kes ini masih dalam siasatan. Kami kini menunggu hasil siasatan dan jika ada bukti mencukupi, kami akan menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan,” katanya.

Daily Express juga menghubungi Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah untuk mendapatkan komen, namun tiada maklum balas diterima setakat artikel ini ditulis.